Kerajaan tetap terbuka berhubung cadangan merangka akta jerebu rentas sempadan untuk menjenayahkan tindakan menyebabkan jerebu di Malaysia.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan dia secara konsisten berkata penggubalan undang-undang itu perlu diteliti secara menyeluruh.

"(Ia perlu) mengambil kira segala cabaran dan sekatan, khususnya kebolehlaksanaan akta ini berdasarkan pengalaman negara-negara yang sudah mempunyai akta serupa, seperti Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata instrumen perundangan berkenaan masalah itu yang paling berjaya setakat ini adalah Perjanjian Kualiti Udara Kanada-Amerika Syarikat 1991.

Katanya lagi, kementeriannya dalam peringkat mengumpul maklum balas daripada pihak terlibat, seperti agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan NGO, dan akan mengadakakan bengkel selepas persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28) pada Disember ini.

"Kementerian sekali lagi ingin menegaskan bahawa kami tidak menutup pintu terhadap cadangan penggubalan rang undang-undang sebagai mekasnime untuk menangani isu jerebu rentas sempadan.

"Kerajaan komited supaya isu ini dapat dicegah dan dikawal," katanya lagi.

Dua hari lalu, Nik Nazmi memberitahu Parlimen bahawa penggubalan undang-undang jerebu rentas sempadan tidak akan diteruskan kerana kesukaran pelaksanaannya.

katanya, pencemaran jerebu rentas sempadan tidak dapat diselesaikan hanya dengan penggubalan undang-undang dan memerlukan pelbagai pendekatan, terutama secara diplomasi melalui rundingan dua hala dan pelbagai hala.

Susulan itu, pertubuhan alam sekitar seperti Greenpeace mengkritik kerajaan kerana tidak dilihat serius untuk menangani masalah itu.

Singapura telah mewartakan undang-undang serupa pada 2014 namun tiada pihak yang didakwa setakat ini.

Pihak yang menyokong undang-undang itu berkata ia diperlukan untuk mencegah entiti yang terlibat dalam pembakaran hutan terbuka yang menjadi antara punca jerebu.