Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan Masjid Jamek merupakan kawasan perniagaan yang selamat dan kejadian banjir besar Ahad lalu adalah di luar jangkaan.

Sehubungan itu, jurucakap DBKL berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memindahkan peniaga terbabit dengan alasan tempat baru mungkin kurang strategik.

Katanya, sebahagian kecil peniaga di Masjid Jamek tidak ada lesen dan sekaligus DBKL tidak mengiktirafkan mereka berniaga di kawasan tersebut.

Ketika mengulas permintaan peniaga terbabit supaya DBKL memberi bantuan kewangan sebagai modal perniagaan, jurucakap itu berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja pembersihan sejak hari pertama banjir iaitu Ahad lalu..

Beliau menafikan dakwaan peniaga Jalan Melayu, Masjid Jamek bahawa DBKL tidak membersihkan kawasan tersebut.

Bersih kawasan banjir

"Kerja pembersihan dilakukan secara berperingkat-peringkat memandangkan banyak tempat yang terjejas akibat banjir tersebut," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat memberi jumlah peniaga yang terjejas akibat banjir tersebut.

Banjir besar Ahad lalu menyebabkan 143 peniaga di sekitar Jalan Melayu di kawasan Masjid Jamek, sebahagian besarnya penjaja kecil, kerugian kira-kira RM300,000 apabila barangan jualan mereka rosak ditenggelami air.

Daripada jumlah itu, barangan perniagaan milik kira-kira 13 peniaga hilang dihanyutkan banjir.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Usaha-Usaha Peniaga Kuala Lumpur, Syed Nor Azizul Syed Omar (foto) mendakwa, antara punca banjir tersebut adalah limpahan air sungai sewaktu hujan lebat melalui lubang longkang sedalam kira-kira tiga meter itu, yang tidak ditutup.

Beliau berkata, sudah tahun pihaknya membuat aduan kepada Jabatan Pengurusan Peniaga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah tersebut tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Berikutan itu, Syed Nor Azizul berkata, pihaknya terpaksa menutup sendiri, lubang tersebut dengan hanya menggunakan tong sampah, bagi mengelak orang ramai terjatuh ke dalamnya.