K'jaan belanja RM56.9 juta untuk publisiti, baki peruntukan lalu
Kerajaan membelanjakan RM56.9 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti pada tahun ini, menggunakan dana yang diperuntukkan untuk tahun lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata tiada kontrak komunikasi baru yang diberikan pada tahun ini.
"Bagi tahun hadapan, pentadbiran kerajaan Madani akan mengurangkan perbelanjaan bagi pengiklanan, promosi dan publisiti untuk tidak melebihi RM100 juta iaitu separuh daripada nilai purata perbelanjaan sebelum ini," kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOF, sejak 2020 hingga 2022, pentadbiran telah membelanjakan RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti.
"Perbelanjaan tersebut digunakan oleh dua pentadbiran lalu untuk menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk papan
iklan, media cetak, media elektronik (televisyen dan radio) serta media sosial.
"Kebanyakan perbelanjaan bagi tujuan ini diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri," katanya lagi.
Pada 7 November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat memberitahu perdana menteri sebelumnya, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob masing-masing memperuntukkan RM500 juta dan RM200 juta bagi tujuan pengiklanan, promosi dan publisiti antara 2020 hingga 2022.
Muhyiddin kemudian menjelaskan peruntukan itu melibatkan penyebaran maklumat berkenaan penularan wabak Covid-19 dan pakej rangsangan ekonomi.
Dia juga mendakwa Anwar membazir wang negara melalui papan iklan besar sejak menjadi perdana menteri.
Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak memeterai perjanjian papan iklan baru dan kontraktor sedia ada hanya menukar papan iklan untuk mencerminkan kerajaan sedia ada.
"Papan iklan hanya ditukar berdasarkan perjanjain. Gambar MP Bera (Ismail Sabri) dengan MP Tambun (Anwar). Itu sahaja," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/99dcf390a402d59a4c385f087caa5034.jpg)
