M'sia harap OIC buat keputusan tegas bukan sekadar retorik - Zambry
Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berharap kenyataan bersama yang dibuat pada Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh bukan sekadar retorik semata-mata.
"(Delegasi) Malaysia menekankan membawa mandat Malaysia pastikan supaya hal-hal kita tekankan dimasukkan ke dalam kenyataan bersama ini.
"Kita harapkan kenyataan yang dikeluarkan ada penegasannya dan tidak lagi bermain dengan retorik dan sebagainya.
"Itu harapan Malaysia supaya kenyataan yang dikeluarkan oleh sidang kemuncak ini, suatu yang tegas dan dilaksanakan apa yang telah diputuskan hari ini," katanya pada hantaran video di Facebook hari ini.

Selain Zambry, delegasi Malaysia antaranya disertai Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Riyadh hari ini bersama isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pemimpin dan perwakilan dari negara anggota OIC akan berkumpul pada sidang kemuncak yang dihoskan oleh Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al Saud.
Terdapat dua mesyuarat persediaan sebelum sidang kemuncak itu - mesyuarat pegawai kanan OIC pada 9 Nov, dan mesyuarat menteri OIC pada 10 Nov, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar semalam.
Sidang tergempar OIC di Pusat Konvensyen King Abdulaziz berlangsung di Riyadh berikutan penglibatan meluas Anwar dengan beberapa pemimpin OIC dalam isu Palestin dan serangan berterusan tentera Israel ke atas Gaza.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/f4f3435851fc7e57edd399ae10ae2649.jpg)
