PN sekali lagi diingatkan bahawa ahli Parlimen dari gabungan itulah yang telah menentang usaha memperkenalkan undang-undang (RUU) antilompat parti yang lebih ketat.
Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin hari ini menyokong kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bahawa PN menghalang usaha PH untuk membolehkan ahli parlimen mengosongkan kerusi jika mengambil pendirian bertentangan dengan whip parti masing-masing.
"Saya dan Gobind Singh Deo (dari DAP) juga sebahagian daripada wakil PH dalam jawatankuasa teknikal yang merangka rang undang-undang antilompat parti tahun lalu.
"Jawatankuasa teknikal ini ditubuhkan perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob yang secara terbuka mengumumkan nama ahli jawatankuasa di Parlimen.
"Jawatankuasa ini bersifat non-partisan kerana ia diwakil ahli parlimen daripada pelbagai parti politik, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Hantaran itu turut melampirkan laporan berhubung kenyataan Saifuddin berhubung perkara itu.
"Anda betul, YB," katanya Hanipa.
Semalam, Saifuddin berkata ketika akta itu dirangka, PH berpendirian mana-mana ahli Parlimen yang bertindak bertentengan dengan keputusan whip parti di Dewan Rakyat serta ahli Parlimen yang dipecat daripada parti, dikira hilang kerusi.
“PN masa itu diwakili Hamzah (Zainuddin) dan Takiyuddin (Hassan). PN tidak setuju dengan cadangan PH di atas," kata Saifuddin.
Kata Hanipa lagi, jika PN masih menolak hakikat itu, mereka boleh merujuk laporan rasmi jawatankuasa teknikal tersebut.
Terdahulu, Bersatu mendesak agar akta antilompat Parti dikaji semula susulan tindakan empat ahli parlimennya menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun pada masa sama kekal dalam parti itu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat kerana wujudnya beberapa kelemahan dalam akta itu.
Semalam, Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan ketika dia mengetuai jawatankuasa itu, dia sudah menyelesaikan sebarang kemungkinan kelompangan menerusi draf asal penggubalan RUU berkenaan.
Bagaimanapun Wan Junaidi berkata draf asal yang disiapkan pada April 2022 ditolak jemaah menteri susulan terdapat empat menteri kabinet tidak bersetuju dengan salah satu klausa disertakan.

