Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sirul bebas tapi Azilah masih tunggu keputusan pengampunan
Diterbitkan:  Nov 13, 2023 10:43 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Hukuman mati terhadap bekas anggota polis, Azilah Hadri atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibu belum dilaksanakan meskipun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonannya mengetepikan keputusan itu pada 2020.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Azilah, 47, kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh sebagai banduan akhir sementara menunggu keputusan jemaah pengampunan negeri.

Kata sumber itu, Azilah yang sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Kajang dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh pada September tahun lalu.

“Dia masih banduan akhir di Penjara Sungai Buloh selepas dipindahkan ke sana,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan seorang lagi tertuduh dalam kes pembunuhan itu, Sirul Azhar umar dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia.

Katanya, Polis Diraja Malaysia akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Peguam Negara dan mahkamah di negara ini, bagi membuat keputusan dalam membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan, keluarga Sirul termasuk anak lelakinya, Shukri Azam, kini turut me­netap di Australia.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.

Bagaimanapun mahkamah membebaskan bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada bersubahat dengan pembunuhan itu tanpa dipanggil membela diri pada Oktober 2008.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia ketika itu.

Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS