Umno sedia berdepan siapa saja calon PN di Kemaman - Zahid
Umno sedia berdepan dengan siapa sahaja, termasuk bekas ahli yang mengkhianati parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Kemaman, awal bulan depan.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, persediaan juga sudah dimulakan bagi berdepan calon daripada Perikatan Nasional (PN) dalam PRK itu.
"Kita sedia menghadapi siapa sahaja, sama ada bekas daripada parti kita yang mereka khianati atau pun yang telah pun dibatalkan kemenangannya," katanya ketika ditemui media di Temerloh, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan PN akan menampilkan bekas pemimpin Umno sebagai calon mereka dalam PRK Kemaman.
PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PN, Che Alias Hamid pada PRU15.
Pada PRU15 November lalu, Che Alias merampas kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan calon BN dan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said.
Semalam, BN mengumumkan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon mereka untuk PRK itu.
Terdahulu, Ahmad Zahid bersama menteri besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menghadiri pertemuan dengan penjawat awam Pahang di Dewan Tun Razak, Temerloh sebelum melawat projek lembangan banjir Sungai Semantan, dekat Temerloh.
Sebelum itu, dia yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negara menghadiri taklimat dan mesyuarat pengurusan bencana peringkat daerah di pejabat daerah dan tanah Temerloh.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan berlaku banjir ketika kempen PRK Kemaman, Ahmad Zahid memberitahu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen dan proses pengundian akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita akan berunding dengan SPR mengikuti SOP yang baru dan di PPS (pusat pemindahan sementara) itu pada hemat saya yang penting kita hargai, kita santuni mangsa-mangsa banjir itu dahulu.
"Walau bagaimanapun, takkanlah kita dah tolong, mereka tak tolong orang yang tolong mereka," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/1e23da0fdc679d1cec16b284e7a2af43.jpg)
