Siasatan kes bom di kereta Siti Kasim masih diteruskan
PARLIMEN | Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan polis masih meneruskan siasatan terhadap penemuan bahan letupan termampat (IED) pada tayar belakang kereta peguam, Siti Kasim, pada 21 Julai lalu.
Kata menteri dalam negeri itu, kertas siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.
Jelasnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
"Usaha mengesan suspek serta motif masih dalam tindakan pihak polis.
"Susulan kes ini masih dalam siasatan, pihak polis tidak berhasrat untuk mengulas lanjut," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Saifuddin menjelaskan isu tersebut sebagai menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanya mengenai status siasatan terkini kes penemuan IED pada kereta Siti.
Sim turut bertanyakan tindakan kementerian itu untuk memastikan insiden sama tidak berlaku lagi ke atas mana-mana rakyat biasa, aktivis atau pemimpin.
Pada 21 Julai lalu, Siti - atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim - melalui Facebook mendakwa kenderaannya diletakkan objek menyerupai bom.
Menurut Siti dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke sebuah pusat servis di Bangsar.
Saifuddin berkata kerajaan sentiasa komited memastikan keselamatan dan keharmonian negara terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman dan perbuatan yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat,” katanya lagi.
Sejak 2019 kata Saifuddin polis menyiasat 17 kes ugutan membabitkan bahan letupan ke atas individu atau organisasi di seluruh negara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/78a8b10068ec7eb4cb32de47bef01067.jpg)
