Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ban pecah punca banjir termenung di Hilir Perak - Saarani
Diterbitkan:  Nov 16, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Banjir termenung di Hilir Perak sejak 23 Okt lepas berpunca daripada ban yang dibina di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RBT) pecah di Kampung Batu 9 dan Batu 10, Changkat Jong, di Teluk Intan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta khusus untuk pembinaan ban bagi mengelak kejadian banjir berulang, malah proses pelaksanaan projek terbabit masih berjalan.

Menurutnya peruntukan RM10 juta yang dilaksanakan itu dilakukan sebelum kejadian ban pecah tersebut dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengenal pasti berlaku kejadian sama di kawasan lain.

"Ban yang dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, tapi ada ban lain yang terputus. Itulah menyebabkan air masih berterusan masuk.

"Air jika ada lubang sedikit pun ia akan masuk secara menderu hingga menyebabkan ban pecah yang mengakibatkan banjir dan sukar untuk mengalir keluar ke sungai.

"Ini menyebabkan air mengambil masa lama untuk surut," katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Chikus di Teluk Intan hari ini.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak bersama Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Salbiah Mohamed.

Mengulas mengenai memindahkan mangsa banjir termenung di Changkat Jong ke penempatan baru, Saarani berkata terdapat beberapa kekangan termasuk kewangan.

"Perkara ini telah dibangkitkan sebelum ini dan cadangan supaya diberikan tapak baru bagi menempatkan keluarga yang sentiasa dilanda banjir ini jauh dari kawasan sungai, namun ia bergantung kepada mangsa banjir itu sendiri yang harus mempunyai modal untuk bina rumah baru.

“Kerajaan negeri boleh cari tanah untuk dirikan rumah. Premium tanah biasanya RM500 sahaja tak mahal, tetapi kos membina rumah tinggi itu belum termasuk kos infra terutama jalan masuk ke penempatan baru itu yang mungkin menelan belanja tinggi," katanya.

Saarani berkata kerajaan negeri sudah memindahkan 15 keluarga dari Lorong Mesra Batu 7½ Changkat Jong yang paling terkesan banjir sebelum ini, ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana, Teluk Intan sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta JPS agar memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pembinaan ban baru selain menyambung semula ban yang pecah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS