Sekumpulan anggota perubatan dan penyokong mereka hari ini mengadakan demonstrasi bersebelahan Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menuntut Mesir supaya membuka laluan selamat di lintasan sempadan Rafah.

Ini bagi membolehkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan disalurkan kepada hospital-hospital di Gaza.

Kumpulan kira-kira 30 orang itu, sebahagian mereka memakai kot makmal putih, sambil membawa sepanduk menuntut supaya gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza serta pembunuhan beramai-ramai dihentikan. Mereka juga mahu bantuan kemanusiaan tanpa halangan disalurkan kepada orang awam di sana.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengutuk serbuan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke atas hospital terbesar Gaza, Hospital Al Shifa, yang didakwa digunakan sebagai markas dan Hamas.

Perhimpunan "White Coat Rally" di hadapan kedutaan itu dianjurkan oleh Gabungan Wanita Malaysia bagi Al Quds dan Palestin.

“Di sempadan (Rafah), terdapat begitu banyak trak bantuan kemanusiaan menunggu untuk masuk (ke Gaza), begitu ramai doktor menunggu untuk masuk dan begitu banyak hospital lapangan bersedia untuk masuk atau menerima pesakit dari Gaza,” kata Dr Fauziah Mohd Hassan, seorang perunding obstetrik dan ginekologi, yang juga penasihat kumpulan itu.

Antara lain, kumpulan itu menggesa Mesir supaya menyediakan penjagaan kritikal bagi mereka yang cedera di Gaza, menghalang penduduk Palestin daripada terus diusir, dan menyokong pencabul undang-undang antarabangsa dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mereka juga mahu Mesir tidak lagi melabelkan "pejuang kemerdekaan" Palestin sebagai "pengganas" dan memimpin dalam Perikatan Arab-Islam untuk membela Palestin.

Pengerusi gabungan itu Zuraidah Kornain berkata mereka cuba menghantar memorandum kepada kedutaan awal minggu ini tetapi "ditolak secara kasar".

Dia berkata kumpulan itu juga pernah menghantar beberapa memorandum kepada kedutaan AS, Suruhanjaya Tinggi British, dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perkara yang sama, tetapi tidak pernah memorandum mereka ditolak seperti yang dilakukan oleh kedutaan Mesir.

Katanya, ini memberi gambaran kecil tentang apa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Palestin dalam beberapa dekad yang lalu, dan terutamanya pada bulan lalu sejak keganasan tercetus.

[Baca berita penuh]