Keganasan memuncak: Tujuh anggota tentera terbunuh di selatan Thai
Tujuh anggota tentera Thai terbunuh dalam letupan bom di tepi jalan di wilayah bergolak Yala ketika kumpulan pemisah menyambut ulangtahun ke-10 mereka mengisytiharkan Pattani sebagai wilayah merdeka.
Tujuh anggota tentera Thai terbunuh dalam letupan bom di tepi jalan di wilayah bergolak Yala ketika kumpulan pemisah menyambut ulangtahun ke-10 mereka mengisytiharkan Pattani sebagai wilayah merdeka.
Menurut laporan, perisytiharan kemerdekaan itu dibuat di Jerman pada 1997 dan dihadiri kira-kira 10 pemimpin buangan "Majlis Permesyuaratan Rakyat Melayu Patani" yang tidak dikenali.
Seorang pegawai polis di daerah Bannang Sata memberitahu, anggota tentera terbabit sedang meronda apabila terkena letupan di Kampung Busu kira-kira jam 10 pagi sebelum diserang hendap oleh beberapa lelaki bersenjata api.
Serangan hari ini adalah yang terbesar - berlaku dua minggu selepas 18 orang, termasuk 11 anggota paramilitari, terbunuh dalam dua kejadian pada 31 Mei, demikian menurut laporan Bernama.
Kesemua 11 anggota paramilitari itu terbunuh apabila pemberontak meletupkan bom di tepi jalan di Kampung Tanah Putih di daerah Bannang Sata, yang dianggap antara daerah paling berbahaya di wilayah selatan.
Sejak tiga tahun lalu, lebih 2,300 orang terbunuh dalam kejadian letupan bom dan tembakan di wilayah majoriti Islam di Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia. Kumpulan pemisah menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah itu yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Pattani seabad yang lalu.
Bakar sekolah
Sementara itu, Human Rights Watch (HRW) yang berpejabat di New York hari ini mendakwa, kumpulan pemisah membunuh guru dan membakar sekolah sebagai cubaan untuk menutup semua sekolah kerajaan di wilayah itu.
Pengarah HRW Asia, Brad Adams berkata risalah diedarkan oleh generasi baru militan pemisah, Pejuang Kemerdekaan Patani, secara terang-terangan memberi amaran kepada orang Melayu Islam supaya jangan menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan dan jangan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata menurut risalah itu, berbuat demikian adalah haram dan boleh dikenakan hukuman berat, termasuk dibunuh.
Menurut penyelidikan HRW, kumpulan pemisah bertanggungjawab bagi 75 kematian guru dan mencederakan 91 yang lain sejak Januari 2004, apabila pemberontakan memuncak. Mereka juga membakar 194 sekolah dalam tempoh yang sama.
Pada 11 Jun, tiga guru ditembak mati di Narathiwat, memaksa pihak berkuasa menutup lebih 300 sekolah kerajaan di semua 13 daerah manakala di Yala, militan membakar 13 sekolah, dikatakan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Abdul Raman Samad, 60, guru agama yang dihormati.

