Setia sebagai orang nombor dua, pesan Tun Razak
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bapanya - Allahyarham Tun Razak Hussein berpeluang untuk mengambilalih pimpinan dari Tunku Abdul Rahman lebih awal daripada masanya atas desakan pelbagai pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bapanya - Allahyarham Tun Razak Hussein berpeluang untuk mengambilalih pimpinan dari Tunku Abdul Rahman lebih awal daripada masanya atas desakan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, kata Najib, bapanya tidak berbuat demikian kerana Allahyarham adalah seorang yang setia.
Menurutnya, Tun Razak berkata: "Saya tidak akan membiarkan diri saya berbuat demikian. Ini bukanlah cara orang Melayu. Jika kita orang kedua, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai orang kedua."
Tun Razak menjadi perdana menteri kedua pada 22 September 1970 setelah mengambilalih jawatan dari Tun Abdul Rahman yang meletakkan jawatan selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Menurut Najib, bapanya semasa menjadi presiden Umno pernah berpesan 'jagalah parti" yang bermaksud Umno adalah warisan khazanah yang mesti ditatang dan dipelihara dengan sempurna.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah pernah menyebut Tun Razak adalah mentor beliau dalam politik.
Najib berkata, dalam pertemuan empat mata apabila beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri, Pak Lah berkata,"kamu (Najib) anak kandung Tun tetapi saya anak politik Tun.'
Najib sebak ketika menyampaikan ucapan mengenai ayahnya, bekas Perdana Menteri, Tun Razak Hussein dalam satu majlis anjuran Akademi Pemuda Umno di ibu negara hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan dalam seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan mengesat mata beberapa kali sehingga suasana sepi seketika.
Hadir sama ialah balu Tun Razak, Tun Rahah Mohamed Noah; anak-anaknya; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein: Naib Ketua, Khairy Jamaluddin, bekas tokoh negara dan kira-kira 200 hadirin.
Dalam ucapannya, Najib berkata, Tun Razak merupakan motivasi kepada dirinya untuk bekerja kuat demi kepentingan rakyat tanpa mementingkan diri sendiri, asalkan rakyat dapat dibela dan dibangunkan, di kota, di desa mahupun di peringkat antarabangsa.
"Tun sendiri telah merahsiakan penyakit leukimia yang dihidapinya sejak 1969, kepada bonda (Tun Rahah), saya dan adik beradik lain hinggalah ke saat akhir hayatnya.
"Rupa-rupanya Tun mengejar masa, tidak mahu kesihatan menjadi penghalang, mengetepikan kepentingan diri, berkorban untuk membina agama, bangsa dan negara.
"Beliau pernah dinasihat oleh rakan rapat dan anggota Parlimen agar bercuti apabila melihat keadaannya semakin uzur tetapi Tun menjawab 'Bagaimana saya nak berehat, banyak kerja yang belkum selesai", katanya sambil menambah, bapanya pernah membuat lawatan sejauh 43,000 batu menerusi jalanraya, menaiki kapal terbang, helikopter, bot, berbasikal dan berjalan kaki ke seluruh negara pada 1962.
Najib berkata, ucapan terakhir bapanya ialah dalam perhimpunan agung Umno ke-26 di Hotel Hilton Kuala Lumpur apabila beliau menyebut: "Saya menggariskan khidmat kejujuran, kerana selagi kita jujur dan ikhlas terhadap parti dan rakyat, sudah tentu Allah akan memberkati segala usaha kita itu."
Katanya, kewujudan kerajaan campuran Perikatan pada 1973 membabitkan PAS di Kelantan, Gerakan di Pulau Pinang dan Parti Progresif Rakyat (PPP) di Perak merupakan ilham dari Tun Razak.
Dalam ucapannya, Najib berkata bapanya bersekolah di Sekolah Umum Langgar Pekan (Pahang) dengan tidak berkasut, berkaki ayam dan sekolah pula berlantaikan tanah.
Oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan alat tulis, Tun Razak pernah belajar ilmu kira-kira (matematik) dengan menulis di atas lantai.
Kesukaran hidup itu, katanya, membentuk diri Tun Razak untuk berjaya di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Raffles College Singapura dan Lincon's Inn, United Kindom dan menamatkan pengajian undang-undang dalam tempoh 18 bulan setelah pengajiannya terhenti kerana penjajahan Jepun.

