Empat dari lima Adun Bersatu sepakat sokong MB Perlis
Empat daripada lima Adun Bersatu Perlis menyatakan sokongan penuh mereka kepada Menteri Bersar merangkap pengerusi PN negeri itu, Mohd Shukri Ramli.
Mereka ialah Adun Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) - yang dilantik menjadi exco Perlis semalam - serta Marzita Mansor (Sena).
Ia menjadikan pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, bersendirian dalam kemelut pelantikan exco negeri terbabit yang menyaksikan Adun Kuala Perlis menyatakan kemarahan terbuka kerana 'tercicir' sekali lagi.
Izizam yang juga timbalan pengerusi Bersatu Perlis berkata mereka sepakat dan komited untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri Perlis yang dipimpin pesuruhjaya PAS terbabit.
Bahkan dia turut memberi bayangan masalah yang timbul hanya didalangi oleh "seorang dua" individu dalam Bersatu Perlis.
"Kita (Bersatu) tidak ada masalah namun disebabkan seorang dua pemimpin ini sahaja cuba mencetuskan masalah menyebabkan keharmonian hubungan kita dengan PAS dalam PN ini.
"Kami selaku barisan exco dari Bersatu menyatakan sokongan penuh kepada menteri besar dan kami lebih meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," katanya yang dipetik BH Online.
Tak habis kalau bertelingkah
Semalam, Abu Bakar secara terbuka mengecam menteri besar Perlis selepas dia sekali lagi diketepikan daripada menjawat sebarang tempat dalam barisan exco negeri terbabit.
Abu Bakar - yang mendakwa mendapat sokongan Muhyiddin Yassin - menganggap Mohd Shukri tidak menghormati pemimpin sendiri kerana tidak mengendahkan surat Pengerusi PN berkenaan.
Dalam PRU ke-15 tahun lalu Bersatu diperuntukkan enam daripada 15 kerusi yang ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. Daripada jumlah itu mereka hanya tewas di kerusi DUN Indera Kayangan.
Pada 26 Okt lalu Malaysiakini melaporkan Abu Bakar mendakwa PAS Perlis sedang bergolak secara dalaman terkait dengan isu "kefahaman agama" selain susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri.
Dakwa Abu Bakar kemelut tersebut meletakkan mereka berada dalam keadaan tidak selesa di sebalik kedudukan kedua-dua parti bersama dalam PN.

Bagaimanapun sehari kemudian Mohd Shukri tampil menyangkal dakwaan Abu Bakar sebaliknya dia memberi isyarat ada Adun tertentu yang menyukarkan kerajaan negeri.
"Memang tiada pergolakan dalaman berlaku dalam PAS Perlis, cuma adalah seorang dua yang teruja selepas menang ini yang seronok 'hentak' kerajaan macam nak jatuhkannya," kata Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang.
Izizam berkata sebarang masalah yang ditimbulkan hanya menyebabkan kemelut tersebut berpanjangan.
"Menjadi exco pun adalah tanggungjawab besar jadi jika asyik bertelingkah pasal politik sahaja sampai bila pun tidak akan habis," katanya lagi.
Izizam turut menolak dakwaan Abu Bakar bahawa dia dan Megat Hashirat menjadi dalang dalam percaturan untuk mengetepikan Adun Kuala Perlis itu daripada dilantik sebagai exco.
"Saya menafikan dakwaan itu dan ia adalah tuduhan tidak berasas.
"Lebih baik kita fokus pada tugas kita membantu rakyat daripada berterusan berpolitik seperti ini," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/59c4dbc2bf69ae1692643de15f71e0be.jpg)
