Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay menyokong Palestin.

Kenyataan itu dibuat selepas terdapat bantahan terbaru supaya konsert Music Of The Spheres World Tour yang dijadualkan esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dibatalkan.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar juga memaklumkan bahawa konsert itu diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

Kenyataannya dibuat selepas mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah menggesa supaya konsert itu dibatalkan.

Coldplay

Luqman dilaporkan menggesa orang ramai supaya tidak menyokong konsert itu kerana Coldplay dikaitkan dengan "kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ)".

Dalam jawapannya, Anwar memberi jaminan bahawa dia akan membincangkan perkara itu dengan Luqman.

“Coldplay ini antara kumpulan yang menyokong Palestin, jadi ada masalah sikit (mengapa harus dibatalkan).

“Kerajaan lalu telah luluskan juga. Jadi, saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini.

"Saya akan berbincang dengan mufti kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada menteri luar (Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

"Oleh kerana ada beberapa isu lain yang tidak kita bersetuju, itu saya akan bincang semula," katanya semasa Waktu Soalan Perdana Menteri hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan dalam isu penganjuran konsert Coldplay susulan kenyataan Luqman sebelum ini.

“Apakah ada satu dasar atau pendirian (kerajaan) untuk pastikan kita fahami keadaan semasa yang berlaku hari ni melibatkan Gaza,” soal Wan Fayhsal.

Susulan pengumuman persembahan sulung Coldplay di Kuala Lumpur sebelum ini, beberapa pemimpin PN, khususnya dari PAS mendakwa kumpulan Beritish itu mempunyai agenda LGBT dan membantah persembahan itu.

Penyanyi utama kumpulan berkenaan, Chris Martin dikatakan kerap mempamerkan bendera pelangi - yang sering dianggap sebagai simbol hak LGBTQ - semasa konsert.

Pada Mei lalu, Anwar mengalu-alukan keputusan Coldplay untuk membuat persembahan di Malaysia.

Konsert Coldplay dijangka memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan kehadiran ribuan penonton asing.

Sementara itu, Singapura pula akan mendapat kesan ekonomi paling besar dengan penganjuran enam konsert pada Januari 2024 di republik itu.

Lihat Komen
ADS