Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa supaya peranan dan tanggungjawabnya dimasukkan ke dalam pindaan Akta Audit 1957.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata tindakan ini wajar bagi jawatankuasa tersebut melaksanakan amanahnya dengan lebih mantap dan berkesan.

"Saya yakin dan percaya, seperti mana diberikan komitmen oleh ketua audit negara untuk lihat dan ambil pandangan daripada pihak AG and PUU.

"Saya percaya, kalau ada sesi libat urus ini dari semasa ke semasa, kita boleh bincangkan.

“Terbaik untuk jalinkan kerajasama di masa depan,” katanya pada sidang media bersama Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi di lobi parlimen hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, dia dimaklumkan kerajaan sedia ada bercadang untuk meminda akta tersebut tahun depan.

Pada 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata akta itu akan dipinda untuk memberikannya lebih kuasa.

Lihat Komen
ADS