Individu yang digelar sebagai Mr H oleh seorang kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) akan memberi keterangan kepada pihak berkusa hari ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain yang mengesahkan hal itu berkata Mr H itu akan memberi keterangan di Balai Polis Presint 11 Putrajaya.

Katanya sesi tersebut akan berlangsung kira-kira jam 5.30 petang.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan berkaitan kes tersebut, Razarudin menjelaskan setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada pegawai J-Kom terbabit, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

"Setakat jam 2 petang pada hari ini (22 Nov) tiada laporan polis yang diterima daripada Abdul Wahab," katanya kepada media.

Abdul Wabah merupakan pegawai J-Kom yang memperkenalkan nama Mr H semasa mengadakan sidang media di Kuala Lumpur pada 17 Nov lalu.

Identitinya kemudian didedahkan kepada polis oleh bekas ketua pengarah J-Kom, Mohammad Agus Yusoff pada 20 Nov lalu.

Nama Agus dan Abdul Wahab menjadi perhatian ramai selepas rakaman sembang mereka tular dan didakwa bersifat lucah.

Bagaimanapun mereka kemudian muncul pada sidang media bersama dan menafikan terlibat dalam perbualan lucah, sebaliknya mendakwa apa yang terjadi merupakan konspirasi ‘Mr H.’

Mereka juga berkata video itu sesuatu yang dirancang dan telah disunting.

Menurut Razarudin setakat ini Polis Diraja Malaysia sudah mengambil keterangan daripada tiga individu.

"Rakaman percakapan itu dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Tambah Razarudin beberapa orang saksi lain akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan kes tersebut.