TI-M gesa PM dedah kad laporan menteri kabinet
Badan pemantau rasuah Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim segera mendedahkan kad laporan pencapaian menteri kabinet dalam tempoh setahun lalu.
Presidennya, Muhammad Mohan berkata hal itu perlu bagi membuktikan kerajaan benar-benar mengamalkan pembaharuan yang telus dan bertanggungjawab.
"Ini bukan sahaja akan meyakinkan rakyat tentang kestabilan dan keupayaan kabinet yang dilantik, tetapi juga menjadi asas kepada perdana menteri untuk menilai prestasi pelbagai kementerian dalam menentukan peruntukan serta rombakan kabinet.
"Tambahan pula, ini akan memberi impak positif kepada Indeks Persepsi Rasuah Malaysia dalam jangka masa panjang, seperti yang disasarkan oleh perdana menteri," katanya dalam kenyataan.
Ujarnya menteri tidak perlu bimbang sekiranya prestasi mereka kurang daripada sasaran memandangkan tujuan kad laporan tersebut adalah untuk menjelaskan apa yang telah dilakukan, cabaran dan kerumitan pelaksanaan.
"Rakyat berhak untuk mengetahui setiap tindakan dan usaha-usaha kerajaan membangun negara,"katanya.
Dalam pada itu Muhammad Mohan mengakui kerajaan Madani mengambil alih kuasa ketika ekonomi negara dalam keadaan tenat, kos sara hidup tinggi, penurunan nilai ringgit, dan ancaman daripada pembangkang mengenai kejatuhan kerajaan perpaduan ini.
"Namun persoalannya kini, adakah kesemua menteri ini benar- benar telus dalam kesediaan mereka berkongsi prestasi mereka.
“Adakah juga prestasi pencapaian mereka ini prestasi yang positif dalam memberikan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri?
"Adakah perlaksanaan projek, pembaharuan undang-undang dan usaha-usaha ke arah menaik taraf kehidupan rakyat telah benar-benar dilaksanakan atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga?"soalnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/d347ad80b858f6fd5e70d58e805abda8.jpg)
