Polis Johor rampas 4.74 tan dadah sejak Jan
Polis Johor merampas 4.74 tan dadah bernilai RM33.78 juta dengan sitaan harta RM13.15 juta bagi tempoh Januari hingga 22 Nov lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sepanjang tempoh itu juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan sebanyak 15,307 orang bagi pelbagai kesalahan dadah.
"Tangkapan itu antaranya membabitkan 126 tokan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Kesemua tokan ini dikenakan perintah tahanan dan sekatan dua tahun di pusat pemulihan akhlak.
"Selain itu, sebanyak 592 orang terdiri daripada pengedar dan penagih turut diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata tangkapan itu merupakan hasil tindakan dan operasi bersepadu bagi mengekang sebarang aktiviti pengedaran serta penyeludupan dadah ke negara jiran.
Beliau berkata operasi itu termasuk Op Tapis Khas yang dijalankan secara berkala dengan memfokuskan kawasan hot spot di jeti-jeti nelayan, projek perumahan rakyat, Felda dan kawasan-kawasan penagih.
“Menerusi Op Tapis sahaja, sebanyak 1,478 orang ditahan sepanjang operasi dijalankan atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya yang meminta masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah menerusi hotline JSNJ 012-2087222.
- Bernama
/file/1184/548e8c8d2ac838f013d9db4f80c74022.jpeg)
