Pengerusi PN: Terserah pada majlis tertinggi, kata Muhyiddin
Pengumuman untuk tidak lagi mempertahankan jawatan presiden Bersatu menyebabkan timbul persoalan mengenai kedudukan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN.
Menjadi ketua tertinggi untuk beberapa parti dalam gabungan itu, perkembangan terbaru hari ini sepatutnya turut melibatkan langkah lanjut Muhyiddin.
Ditanya mengenai kedudukannya dalam hierarki PN, Muhyiddin berkata, keputusan tersebut diserahkan kepada majlis tertinggi (MT) gabungan terbabit.
"Sampai satu peringkat (nanti) saya akan menyerahkan juga jawatan pengerusi PN and I will leave it to the supreme council of PN to decide (dan saya akan biarkan Majlis Tertinggi PN untuk buat keputusan)," katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu merangkap Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Di akhir ucapan dasarnya Muhyiddin mengumumkan dia tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan sebagai presiden apabila Bersatu mengadakan pemilihan selepas ini.
Parti itu sepatutnya mengadakan pemilihan tahun ini namun menangguhkannya selama 18 bulan bagi membolehkan mereka memberi perhatian kepada pilihan raya negeri pada Ogos lalu.
Mengikut hieraki PN, parti itu dipimpin seorang pengerusi (Muhyiddin) dan dibantu empat timbalan iaitu Abdul Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan), Yong Teck Lee (Parti Progresif Sabah) dan Ahmad Faizal Azumu (Bersatu).
Terdahulu Muhyiddin ditanya sama ada dia akan berunding dengan parti komponen lain ekoran pengumuman yang dibuatnya pagi tadi.
"Kenapa nak runding? Tadi (semasa ucapan dasar) wakil PAS dah dengar... dia tahulah, saya dah umumkan di sini," katanya.
Ketika ditanya pula apakah Muhyiddin mempunyai nama tertentu untuk dicadangkan sebagai pengganti, dia hanya menjawab: "Ramai ada di depan ini (yang layak), di dalam (dewan) tadi pun ada lagi," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/e9fee2d1fdf29284c866730b19dd4809.jpg)
