MPT Bersatu tolak pengumuman Muhyiddin tak pertahan jawatan
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah menolak pengumuman Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan.
"Mesyuarat telah sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti.
"MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas mesyuarat tergempar MPT Bersatu yang dipengerusikan oleh timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu petang tadi.
Terdahulu Muhyiddin mengumumkan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan presiden, pada akhir ucapan presidennya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu awal hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengulangi pendiriannya pada sidang media bersama Hamzah, Faizal dan pemimpin Bersatu yang lain.
Pada sidang media itu, Hamzah berkata MPT Bersatu telah menerima cadangan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti tahun depan.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, mereka tidak dapat menerima jika Muhyiddin mahu berundur lebih awal.
“Kami semua dalam MPT telah bersetuju Tan Sri (Muhyiddin) kata dia tidak mahu mempertahankan (jawatan), bukan bermakna dia nak letak jawatan.
“Dan kita tidak mencadangkan sesiapa pun (sebagai penggantinya),” kata Hamzah yang juga ketua pembangkang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/e56442909020e666779a3b6850aa0d22.jpg)
