Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS ada agenda besar bawa Ahmad Samsuri ke parlimen - Tuan Ibrahim

PRK Kemaman | Pemimpin PAS memberi bayangan bahawa pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon di Parlimen Kemaman kerana mereka mempunyai agenda lebih besar.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mengharapkan Samsuri dapat menyumbang kepada negara seperti mana dia berjaya menyumbang kepada negeri kelahirannya di Terengganu.

“Orang tanya, pasal apa kita lantik Dr Samsuri jadi calon di Kemaman? Tentulah kita faham, PAS pusat ada agenda besar, sebab itu kita nak bawa Dr Samsuri ke Parlimen. Ada benda besarlah, kalau benda kecil letak orang lain pun insya-Allah boleh menang.

“Tapi kita tak nak sekadar menang Kemaman, kita nak Dr Samsuri kalau dia berjaya menyumbang kepada Terengganu, kita nak dia juga berjaya menyumbang untuk Malaysia, insya-Allah,” katanya dalam ceramah kempen di Felda Kerteh 6, malam tadi.

Terdahulu Ahmad Samsuri antara lain disebut-sebut sengaja dicalonkan bertanding di parlimen itu untuk ditonjolkan sebagai pemimpin masa depan.

Malah ada juga laporan media membincangkan kemungkinan anggota dewan undangan negeri (Adun) Ru Rendang itu bakal menjadi calon perdana menteri daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya berjaya menjadi kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri sebelum ini tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menganggap ia sekadar spekulasi.

Sementara itu mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata adalah penting bagi seorang menteri besar untuk berada di Parlimen dan perkara itu juga dibuat oleh menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Penting menteri besar ini duduk dalam parlimen, apa saja hal Terengganu dia boleh jawab sebab ada dalam kepala dia.

“Apa keperluan dan perancangan Terengganu dia boleh bicara terus di depan perdana menteri dan menteri. Itu kalau jadi pembangkang, kalau jadi kerajaan, semua sedia maklumlah apa yang sepatutnya kita buat.

“Kita nak angkat Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang kita menang ini sebagai mekanisme untuk mengangkat ekonomi orang Melayu di Malaysia,” katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS