Pembangkang bawa naratif sempit dengan isu poligami - Fadhlina
Ketua wanita PKR, Fadhlina Sidek membidas ahli parlimen pembangkang kerana ketandusan idea untuk dikemukakan di Dewan Rakyat.
Sebaliknya, Fadhlina berkata ahli parlimen pembangkang membawa naratif sempit dengan menjadikan isu seperti isu poligami sebagai modal politik mereka.
"Ahli parlimen sepatutnya menggunakan platform dewan yang mulia untuk menajamkan dasar dan polisi.
"Tapi disempitkan dengan naratif berapa orang bini," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita PKR di Dewan Perdana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Minggu lalu, timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan sokongan moral kepada ‘bujang senja’ yang mampu untuk berpoligami.
Tuan Ibrahim berkata amalan itu boleh menjadi “jalan keluar” kepada jutaan wanita yang masih belum berkahwin walaupun selepas umur 30 tahun.
Bagaimanapun cadangan itu dibidas Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang mengatakan Tuan Ibrahim membuat kenyataan seksis berhubung masalah wanita lambat berkahwin serta galakan berpoligami.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, pembangkang tiada idea untuk dikemukakan sehingga perbahasan dalam Dewan Rakyat menjadi ‘tumpul’.
"Tumpul perbahasan kerana dah ketandusan isu kerajaan nak dimainkan. Nak persoal masalah korupsi dan tata kelola? Tiada. Nak persoal tentang scheme of things? Tiada.
"Kita peringatkan lagi pasukan pembangkang untuk jangan melampaui batas," katanya.
Sementara itu, ahli parlimen Nibong Tebal itu juga meminta para perwakilan tidak bermewah-mewah selepas menjadi kerajaan.
"Saya menginsafi penuh tanggungjawab menjadi sebahagian anggota kabinet Malaysia dan ketua wanita PKR khususnya.
"Ia benar-benar taklif yang berat walaysa at tasyrif, bukan untuk bermegah-megah apatah lagi bermewah-mewah.
"Benar, kita adalah kerajaan, tetapi ia bukan alasan untuk kita bermewah sebaliknya terus mengambil sikap sederhana dalam mentadbir urusan parti," katanya.
Seramai 47 perwakilan dan 287 pemerhati menghadiri ke kongres wanita PKR hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/2bdab261a9916f630ab09d48b4ee66e8.jpg)
