Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib ulangi tak terlibat pembunuhan Altantuya
Diterbitkan:  Nov 25, 2023 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan dirinya tidak terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaaribu.

Kenyataan melalui peguamnya di Shafee & Co itu hadir sebagai respons kepada wawancara Al-Jazeera dengan Sirul Azhar Umar, yang merupakan salah seorang daripada dua bekas pegawai polis yang disabitkan dengan pembunuhan itu.

“Kami ingin mengulangi bahawa anak guam kami, Najib Razak telah dibebaskan daripada sebarang penglibatan dalam kes ini.

“Pembebasan ini telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk penyiasatan yang dimulakan semula selepas PRU14 (2018) dan pengesahan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan akhirnya melalui rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang didengar secara menyeluruh atas meritnya,” kata firma guaman itu.

Dalam prosiding mahkamah berkenaan, peguam Najib berkata pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tidak mengaitkan Najib, kecuali ketika Azilah Hadri - pegawai atasan Sirul yang turut disabitkan kesalahan - membuat akuan berkanun mendakwa Najib telah mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Mahkamah Persekutuan enggan menyemak sabitan Azilah berdasarkan "bukti baru". Panel berpendapat bahawa Azilah sendiri telah menyembunyikan maklumat daripada proses undang-undang, dan oleh itu tidak ada pelanggaran keadilan semula jadi yang akan mewajarkan semakan.

Dalam wawancara yang disiarkan semalam, Sirul masih menutup mulut mengenai dakwaan dalang pembunuhan itu, selain mengatakan Azilah memberitahunya bahawa mereka sedang menjalankan "operasi khas" untuk Najib.

Dia juga memberitahu Al-Jazeera bahawa masih ada usaha berterusan untuk mempengaruhinya bagi melindungi Najib.

Bagaimanapun, peguam Najib berkata anak guam mereka "menafikan secara mutlak" dakwaan mempengaruhi atau cuba menutup mulut Sirul.

“Malah, dia menggesa Sirul untuk berani dan mendedahkan apa-apa maklumat yang mungkin dia ada mengenai dalang yang dikatakan itu, demi kepentingan membongkar kebenaran, ketelusan dan keadilan,” kata peguam Najib.

Peguam Najib turut bersetuju dengan Ketua Polis Negara Razarudin Husain bahawa Sirul sudah mempunyai peluang untuk membela diri mengikut undang-undang, dan dakwaan dalam wawancara baru-baru ini tidak pernah dibangkitkan di mahkamah.

“Sehubungan itu, anak guam kami menyatakan bahawa memandangkan Sirul berdepan dengan hukuman mati sepanjang perbicaraannya, dia sepatutnya membangkitkan dakwaan baru-baru ini kepada mahkamah jika perkara yang sama ada merit, tetapi masih belum berbuat demikian,” kata firma guaman itu.

Mereka juga menambah bahawa kerajaan harus melibatkan diri dengan rakan sejawatan mereka dari Australia untuk mengekstradisi Sirul dan memudahkan siasatan lanjut berhubung dakwaannya, dan mungkin memberi jaminan kepada kerajaan Australia bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan terhadapnya.

Sementara itu, Shafee & Co turut menjelaskan bahawa Sirul dan Azilah tidak pernah menjadi pengawal peribadi yang ditugaskan kepada Najib, tetapi tergolong dalam kumpulan pengawal peribadi yang digilir dalam kalangan pemimpin tertinggi kabinet.

“Malah, kedua-duanya ditahan buat kali pertama selepas mereka tiba di lapangan terbang dari United Kingdom selepas mereka menjalankan tugas melindungi perdana menteri terdahulu Abdullah Ahmad Badawi,” kata mereka.

Lihat Komen
ADS