'KDN perlu dilihat peka, sensitif ' - Saifuddin pertahan rampasan buku
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu dilihat "peka dan sensitif" terhadap aduan orang ramai berhubung penerbitan buku yang didakwa mengandungi unsur-unsur yang melanggar undang-undang, kata menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.
Bercakap kepada pemberita di kongres tahunan PKR ke-17, Saifuddin sekali lagi mempertahankan tindakan penguat kuasa KDN merampas buku bagi tujuan siasatan.
"Biar kita benarkan proses berjalan. Kritik dan pandangan pelbagai saya terima baik teguran. Di satu sisi lain, KDN juga harus dilihat peka dan sensitif terhadap aduan awam.
"Jadi kita kena cari jalan seimbang di situ,” kata Setiausaha Agung PKR itu ketika diminta mengulas insiden terbaru membabitkan pegawai KDN dan toko buku bebas, Gerak Budaya.
Pada Khamis lalu, penguat kuasa KDN merampas lapan buku berbahasa Cina dari toko buku berkenaan yang berkaitan pemberontakan komunis di Tanah Melayu.
Lima daripada buku itu merupakan siri sejarah pemberontakan komunis di Tanah Melayu, dan dua lagi ialah buku memoir ahli Parti Komunis Malaya (PKM). Tidak dapat dipastikan mengenai buku selebihnya.
Tindakan itu mengundang kritikan timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan yang menggesa kerajaan tidak lagi menggunakan "garis panduan Perang Dingin".
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan adalah tidak tepat untuk menyifatkan tindakan KDN sebagai "serbuan" ke atas sesebuah premis, dan buku yang dirampas akan dipulangkan jika didapati tidak mengandungi sebarang unsur melanggar undang-undang.
"Yang tak boleh kita benarkan adalah tindakan penguatkuasaan melampaui batas yang diperuntukan dalam undang-undang. Itu tak boleh," tegasnya.
Sebelum ini, kementerian itu juga merampas dua buah buku pada Ogos lalu dari kedai buku milik penulis Benz Ali, termasuk satu buku mengenai Karl Marx yang berkaitan ideologi komunis dan sosialis.
Pada masa itu, Saifuddin juga menyebut mengenai alasan yang sama untuk mempertahankan tindakan penguatkuasa KDN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/76d2ed73bc3c2004ce36fefdc1b84ea0.jpg)
