PRK Kemaman | Pemimpin BN meminta pengundi muda di Parlimen Kemaman supaya membuat kajian mudah sebelum memilih wakil rakyat mereka pada 2 Dis nanti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan berkata, ini kerana segala kemudahan yang disediakan termasuk pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti adalah atas usaha dan jasa BN yang kini bersama kerajaan perpaduan.

“Pengundi muda ingin saya memberikan sedikit pandangan yang mereka ini baru saja lepas sekolah, dan mengundi pada umur 18 tahun. Sekolah rendah dan menengah, gaji cikgu semuanya dibayar oleh kerajaan BN dan kerajaan perpaduan.

“Jadi tak ada satu sen pun urusan sekolah rendah dan menengah serta guru-guru ini daripada PAS, satu sen pun tak ada.

“Bukan saya nak mengungkit, hanya sekadar nak mengingatkan kepada pengundi muda, apa jasa PAS kepada mereka?

"Jasa kita (BN) jelas. Memberikan segala kemudahan dan pendidikan untuk anak-anak muda,” katanya pada sidang media di pusat daerah mengundi (PDM) Mak Chili, Kemaman, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha jentera BN dan PH menarik golongan muda menyokong calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang akan berdepan calon PN, Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK berkenaan.

Justeru Ahmad berkata pengundi muda perlu membuka minda dan buat sedikit kajian mudah mengenai siapa sebenarnya yang banyak berjasa kepada rakyat.

“Kita kena buka minda dan buat sedikit kajian mudah bahawa sebenarnya yang banyak berjasa adalah BN dan kerajaan perpaduan.

“Jika anak muda umur 18, 19 tahun masuk universiti, segala universiti itu pun kerajaan persekutuan yang usahakan untuk mereka.

“Begitu juga kalau mereka belajar latihan teknikal dan vokasional (TVET), segala jenis kemahiran tidak ada satu pun kemahiran yang diberikan oleh PAS,” katanya.

Tambah timbalan menteri kewangan itu, bagi memastikan generasi muda mempunyai masa depan, kerajaan membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara.

“(Ini) Untuk memastikan mereka ada pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi,” kata Ahmad.