Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia akan saman lebih ramai individu yang didakwa memutar belit kenyataannya mengenai kejayaan konsert Coldplay di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita pada penghujung Kongres Nasional PKR ke-17 di Putrajaya, Fahmi berkata komen asalnya, yang telah diambil di luar konteks dan dikongsi dalam talian, dibuat sebagai respons kepada seorang wartawan dari Berita Harian.

“Jadi saya akan minta peguam untuk meneliti semua pihak yang berkongsi fitnah ini dan kita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Fahmi tidak menamakan individu tersebut tetapi kemudiannya dalam kumpulan Whatsapp media PKR berkongsi tangkap layar yang didakwa hantaran oleh seorang pemimpin NGO, menuduhnya mengucapkan “alhamdulillah” atas penganjuran konsert itu.

Hantaran itu disertakan dengan grafik yang menunjukkan Fahmi tersenyum dan perkataan, "Konsert Coldplay: 'Alhamdulillah, berjalan dengan lancar".

Dia turut berkongsi kenyataan asalnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, di mana dia melahirkan rasa syukur kerana konsert Coldplay adalah hasil kerjasama yang baik antara penganjur, artis dan pihak berkuasa.

Fahmi seterusnya mengingatkan bahawa dia baru-baru ini memfailkan tindakan undang-undang terhadap individu lain atas dakwaan memfitnah, dan memberi amaran kepada orang lain supaya tidak berkongsi kandungan fitnah.

"Jadi sekali lagi saya memberi peringatan kepada para netizen, kalau nak buat trafik pun, janganlah sehingga memfitnah menimbulkan satu rasa benci.. termasuk terhadap saya.

“Jadi saya akan mengambil tindakan undang-undang dalam perkara ini,” katanya.