PRK KEMAMAN l Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengakui calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor seorang yang bagus dan baik.

Namun katanya, bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu tersilap langkah dengan menjadi calon BN yang disifatkan sebagai sebuah kapal yang sudah tenggalam.

“Saya kenal dengan calon BN ini bekas panglima ATM, bagus orangnya, tapi diberitahu dia tak tahu dia bertanding ini (kerusi) Parlimen ke DUN (dewan undangan negeri). 

“(Bekas) Panglima ATM, dia pergi ke pusat penamaan calon dia serah borang itu takkan dia tak baca. Jangan fikir dia panglima ATM, saya tak nak memperkecilkan, dia tahu semua. 

“Orang baik, tapi dia masuk dalam kapal yang dah tenggelam, kapal PN ini tengah mara ke depan tak ada pun tanda nak tenggelam,” katanya ketika berceramah di Kerteh, Kemaman, malam tadi.

Terdahulu dalam satu rakaman ucapan kempen Raja Mohamed Affandi menceritakan bagaimana dia menyatakan kesanggupan untuk tampil menjadi calon BN di PRK itu.

Katanya, pada awalnya dia beranggapan Kemaman merupakan satu kerusi DUN dan memberi reaksi sedikit terkejut apabila dimaklumkan Kemaman sebenarnya satu kerusi Parlimen.

Semakan Malaysiakini mendapati video ucapan itu kemudiannya ditularkan sebagai modal kempen pihak PN bagi menyerangnya.

Sementara itu Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menegaskan bahawa Raja Mohamed Affandi itu akan tewas berdepan calon PN, Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Umno dah tenggelam, pilih (jadi) calon dalam Umno dia nak buat apa? Gerenti kalah punya. Kapal dah tenggelam dah. 

“Mana dia punya presiden, mana dia? Kat mana dia? Katanya dia melalui rawatan, kita tak boleh nak kata apa-apa orang yang sedang sakit, tapi kat mana? Di mana pemimpin Umno?” soalnya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Muhyiddin jelas merujuk kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang baru menjalani pembedahan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini  berkata dia tidak sabar untuk kembali bertugas dan memberikan yang terbaik dalam menjalankan amanah dipertanggungjawabkan.

Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai jenis pembedahan yang dilaluinya.