Tiga pengundi awal selesai laksanakan tugas di Kijal
PRK KEMAMAN | Proses pengundian awal bagi PRK Kemaman di Balai Polis Kijal, dekat Chukai, selesai jam 11.06 pagi ini selepas semua tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera hadir menjalankan tanggungjawab mereka.
Pusat mengundi yang dibuka jam 8 pagi tadi merupakan satu-satunya lokasi pengundian awal selepas kesemua 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang sepatutnya turut mengundi hari ini, diarah melaksanakan undi secara pos.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata mereka diarahkan berbuat demikian bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.
Antara pengundi awal, Razidah Razali, 36, menzahirkan perasaan lega apabila proses pengundian berlangsung dengan cepat dan tanpa perlu beratur panjang seperti sebelum ini.
Begitu juga bagi Norhayati Ismail, 38, yang mengakui terkejut apabila mengetahui hanya tiga pengundi awal yang akan mengundi hari ini.
PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Dis ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Ia melibatkan 141,790 pengundi layak termasuk pengundi pos dan awal itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/a83017289ea14831ba35b11f7cad27a7.jpg)
