Sepasang suami isteri warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh majikan mereka di Kulai, tiga tahun lepas.
Bartolomeus Fransceda, seorang tukang kebun dan Ekalia, pembantu rumah, masing-masing berusia 20 tahun ketika itu, mengaku bersama-sama membunuh wanita warga emas, Lau Yen Na di sebuah rumah di Jalan Anak Bukit, Palm Resort Senai, Kulai, pada 2 petang, 17 Mac 2020.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum dengan hukuman gantung hendaklah dihukum penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, kedua-dua mereka didapati membunuh Lau, 73 tahun ketika itu, menggunakan sebatang cangkul kecil dua mata tajam berukuran 50 sentimeter.
Rakaman CCTV menunjukkan mereka memukul bahagian kepala warga emas itu dengan cangkul berkenaan ketika mangsa sedang berehat sebelum melarikan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dan telefon bimbit milik mangsa.
Pasangan suami isteri itu telah ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan rakan mereka untuk mencari kerja baharu sebelum kedua-duanya ditangkap di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor pada 21 Mac 2020.
Hasil analisis patologi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat beberapa luka tetakan di kepala manakala analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati DNA mangsa ada pada senjata itu selain DNA tertuduh wanita turut dikesan pada sarung bantal.
Mangsa pemerdagangan manusia
Terdahulu, peguam Ooi Pen Lyn yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada anak-anak guamnya memandangkan mereka sebenarnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia setelah ditipu ejen pekerja tidak berdaftar.
“Kedua-dua tertuduh memaklumkan mereka bukan sahaja diseksa secara mental dan fizikal oleh warga emas itu.
“Malah diperhambakan dengan tidak diberi makan dan diarahkan tinggal di pondok di luar kediaman mangsa,” kata peguam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali berkata alasan diseksa dan diperhambakan bukanlah tiket untuk kedua-dua tertuduh meletakkan undang-undang di tangan sendiri apatah lagi membunuh seorang warga emas dengan kejam.
“Walaupun hukuman Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dipinda dengan meletakkan hukuman penjara, namun adalah menjadi hak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati berdasarkan situasi,” kata Muhammad Syafiq.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 11 Dis ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap pasangan suami isteri itu.
- Bernama