PRK KEMAMAN l Anwar Ibrahim memberi bayangan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak akan menjadi ahli Parlimen biasa sekiranya memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada 2 Dis nanti.

Sebaliknya kata perdana menteri, bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan diberikan tugas sebagai penghubung antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“Saya harap dan dengan kedudukannya, saya percaya kalau dia jadi ahli Parlimen takkan nak jadi macam ahli Parlimen biasa. 

“Sudah tentunya kita bagi tugas supaya kerajaan dan perdana menteri baik. Jadi ingat saudara-saudara, kita pastikan kemenangan calon BN, calon nombor satu,” 

katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Chukai, Kemaman, malam tadi.

Turut hadir Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Umno , Asyraf Wajdi Dusuki, dan Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim.

Dalam ceramah yang dihadiri lebih 1,000 penyokong BN dan PH itu, Anwar menyatakan kehadirannya untuk memberi semangat kepada calon dan pengundi sekali gus mengharapkan perubahan berpihak kepada mereka.

“Sebab itu saya datang untuk Raja Affandi, bagi sokongan kepadanya dan kita minta Kemaman pecah rekod. 

“Angkat seorang yang telah berjasa kepada negara, panglima angkatan tentera ini bukan calang-calang orang. 

“Nak naik (jawatan) itu dia lalui pelbagai ujian dan rintangan, kena ada rekod yang sangat cemerlang. Rekodnya sebagai panglima angkatan tentera itu rekod yang baik tidak ada cacat cela.

“Sekurang-kurangnya orang Kemaman ingat dan kenang jasa orang yang menjaga pertahankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya yang juga ahli Parlimen Tambun.

Terdahulu Raja Mohamed Affandi turut memperkenalkan manifesto yang dinamakan sebagai ‘pelan sosio-ekonomi rakyat Kemaman (Erat-Kemaman).

Melalui risalah yang diserahkan kepada Anwar, manifesto itu mengandungi lima tawaran utama dengan tagline ‘dari ambe untuk deme, Kemamangku’.

Dalam lima tawaran itu Raja Mohamed Affandi berazam untuk meningkatkan kewangan dan ekonomi rakyat, memperkasakan golongan belia, cakna dan perkasa warga emas, pembangunan mampan dan kelestarian kawasan dan memperkasakan pendidikan rakyat kawasan itu.