Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi perinci usul gaji progresif bagi berpendapatan bawah RM5k
Diterbitkan:  Nov 30, 2023 3:10 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Kerajaan telah membentangkan kertas putih yang menggariskan rancangannya untuk dasar gaji progresif yang akan dilaksanakan tahun depan, dengan cadangan bahawa ia menyasarkan pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata gaji median bagi mereka yang bekerja secara formal, iaitu dua pertiga daripada warganegara, ialah RM2,600 sebulan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata bahawa pendaftaran dalam program itu adalah secara sukarela, tetapi majikan yang mengambil bahagian akan diberi insentif kewangan.

Sebagai permulaan, Rafizi mencadangkan majikan boleh mendapat insentif tetap sehingga RM200 sebulan untuk pekerja peringkat permulaan, dan sehingga RM300 sebulan untuk pekerja untuk tempoh 12 bulan daripada kerajaan.

Dia berkata program perintis akan bermula pada Jun tahun depan melibatkan 1,000 syarikat, dengan tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Mengulas lanjut mengenai dasar itu, Rafizi berkata siling gaji dan insentif akan disemak setiap tahun, bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan.

Dia juga berkata akan ada jawatankuasa yang menyemak setiap tahun yang akan mencadangkan kadar kenaikan tahunan kepada pekerja yang layak berdasarkan sektor ekonomi dan peranan pekerjaan.

Selanjutnya, menteri itu berkata akan ada sistem penarafan bintang untuk menilai syarikat yang mendaftar dalam program itu berdasarkan dua komponen.

Menurut kertas putih itu, komponen pertama mempunyai tiga elemen asas, iaitu bilangan pekerja yang dibayar pada atau melebihi kenaikan tahunan yang disyorkan; berapa banyak kenaikan yang lebih tinggi daripada kadar yang dicadangkan; dan berapa lama syarikat didaftarkan dalam program ini.

Terdapat juga komponen bonus yang menilai syarikat berdasarkan perbezaan antara gaji terendah dan tertinggi pada senarai gaji mereka, dan nisbah wanita yang bekerja di jawatan pertengahan dan teratas.

Rafizi berkata tujuan sistem penarafan bintang adalah untuk menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan syarikat dalam memberi gaji yang baik.

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS