Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah arah PAS lunas hutang RM656,000 pada bekas pencetak Harakah

Bekas pencetak Harakah memperoleh penghakiman terus mengarahkan PAS membayar hutang sebanyak RM656,233.69.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang tadi membenarkan permohonan NAJ Resources (M) Sdn Bhd untuk penghakiman terus (keputusan mahkamah tanpa perbicaraan penuh) terhadap PAS dan dua defendan lain.

Dua lagi defendan ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan penerbit lidah rasmi parti itu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam bela plaintif Putra Taulan Rasul mengesahkan Hakim Lailatul Zuraida Harron & Harun membenarkan permohonan untuk penghakiman terus itu.

Peguam itu juga berkata mahkamah sivil turut memberikan anugerah kos sebanyak RM3,000.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam defendan Mohd Faizi Che Abu mengesahkan keputusan itu, sambil menambah pihaknya akan merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan hari ini.

Peguam itu berkata mereka juga akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan mahkamah sesyen hari ini, sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka ke Mahkamah Tinggi.

Pada Ogos 2019, Malaysiakini melaporkan kisah hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya ketika itu - Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Angkatan Edaran telah diisytiharkan muflis. Bagaimanapun, pengurusan yang sama menubuhkan NAJ Press Resources sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah ketika itu.

Lihat Komen
ADS