Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak mendiang Lina Samuel akhirnya dapat MyKad
Diterbitkan:  Dec 6, 2023 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Kemenangan manis buat anak-anak mendiang Lina Samuel, pesakit kanser dari Lawas, Sarawak yang menjadi tajuk utama berita awal tahun ini, dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kerakyatan kerana mereka kini disahkan warganegara Malaysia.

Menurut Agnes Padan dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), keempat-empat anak Lina telah diberikan MyKad bulan lepas.

“Tiada kata yang dapat diluahkan apabila akhirnya keempat-empat anak mendiang Lina telah menerima MyKad masing-masing.

“Terima kasih kepada (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail atas perhatian dan usaha beliau dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan mereka, (serta) Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak dan media yang membuat liputan mengenai isu itu,” katanya di Facebook pada 24 Nov.

The Borneo Post sebelum ini melaporkan bahawa keempat-empat anak Lina menerima sijil kelahiran mereka pada Jun, mengesahkan bahawa mereka adalah warganegara Malaysia.

Lina, yang meninggal dunia pada April lalu, mendakwa kad pengenalannya dirampas oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada November 2022, ketika dia melawat jabatan itu untuk menukar alamatnya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata MyKad Lina telah disita oleh JPN pada 8 Okt 2019, kerana didapati dia bukan warganegara kerana sijil kelahiran anak-anaknya menunjukkan kewarganegaraannya adalah warga Indonesia.

Lina adalah suku kaum Lun Bawang.

Selepas pertemuan dengan pegawai dari JPN Kuching, dia telah diberikan MyKad sementara, yang membolehkan dia melakukan perjalanan melalui udara atau darat dari Lawas ke Miri untuk mendapatkan rawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS