Israel dilaporkan kembali 'mengganas' dengan mengerahkan kereta kebal dan tenteranya ke selatan Gaza termasuk bandar kedua terbesar di Khan Yunis, selepas membedil secara besar-besaran dari udara dan darat sebelum ini.

Laporan AFP menyebut serangan itu menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan sebahagian besar utara Gaza musnah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran kebarangkalian senario lebih buruk berlaku susulan tindakan tentera Israel menyerang selatan Gaza, semalam.

Serangan itu menyebabkan orang awam terpaksa melarikan diri ke kawasan yang semakin mengecil di wilayah terkepung di selatan, tetapi dibom pula hari ini.

Akhbar The Guardian pula melaporkan penduduk di Khan Yunis berdepan dengan peningkatan operasi ketenteraan Israel sejak dua hari lalu dan mendakwa mereka “umpama tidak cukup tanah berlari untuk selamatkan diri.”

“Pengeboman dan serangan udara oleh tentera Israel di bandar Khan Yunis amat dahsyat, seperti langsung tidak berhenti.

“Kami tidak tahu ke mana lagi mahu selamatkan diri dan rasanya kami seperti berlari tanpa henti kerana di mana-mana sahaja bom gugur.

“Rumah kami bergegar tiap kali bom dijatuhkan, semua cermin tingkap dan pintu pecah berderai,” kata seorang gadis kepada akhbar itu.

Tentera Zionis ketika ini menyasarkan selatan Gaza dengan alasan kumpulan pejuang Hamas sudah menukar posisi.

Sebelum ini, Zionis melumpuhkan utara Gaza dengan alasan yang sama, namun masih belum dapat menumpaskan Hamas.

Sementara itu, tentera Israel juga dilaporkan memberi arahan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya megosongkan gudang perubatan di selatan dalam tempoh 24 jam.

Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan tentera Zionis melancarkan lebih banyak serangan darat secara besar-besaran di selatan wilayah tersebut.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, arahan itu amat tidak wajar ketika keadaan di seluruh Gaza sudah pun amat teruk dengan semakin ramai penduduknya terkorban atau cedera.

“Kami menolak arahan Israel untuk berpindah dan akan melakukan apa sahaja bagi melindungi penduduk awam dan kemudahan awam.

“Perlindungan itu termasuklah hospital dan kemudahan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza,” katanya.