Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham: 'Barua DAP' bukan dituju pada Umno tapi beberapa pemimpin
Diterbitkan:  Dec 6, 2023 2:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil menjelaskan kenyataannya mengenai 'barua DAP’ bukanlah ditujukan kepada parti itu tetapi kepada beberapa pemimpin Umno yang mempromosikan DAP secara berlebihan.

Katanya, selepas tegurannya mengenai sikap Umno itu, banyak pihak mula menyerang dan melabel dirinya pula sebagai 'tali barut Bersatu'.

"Kalau saya cakap Umno ini barua DAP, itu tak masuk akal sebab saya pun ahli Umno, takkanlah saya cakap, saya ini barua juga.

"Yang jadi barua DAP itu... tuan-tuan pun tahu siapa, saya tak perlulah sebut nama," kata Isham dalam satu video di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan Isham itu dipercayai ditujukan kepada beberapa pemimpin kanan dalam Umno termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Isham berkata dakwaan pihak tertentu yang turut menyebarkan gambar lama dirinya bertemu dengan bekas ahli Bersatu dan penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan sengaja dibuat untuk memburukkan dirinya.

"Saya ada jumpa dia (Khairuddin) banyak kali, kerana dia bekas ahli Umno. Saya tak tahulah mereka cuba nak buat skandal atau memburukkan saya, saya tak tahu, itu terpulang pada mereka," katanya.

Semalam, Isham mendakwa Umno terus ditolak orang Melayu kerana parti itu sudah tersasar dan tidak memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi lebih rela menjadi 'barua' atau budak suruhan DAP.

Kenyataan itu dibuat susulan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Kemaman, 2 Dis lalu.

Namun dakwaan itu ditolak Mohd Puad yang menerangkan kemerosotan sokongan kepada parti terbabit sudah berlaku sejak PRU ke-14 pada 2018, bukanlah berpunca daripada keputusan untuk bekerjasama dengan DAP melalui PH.

Mohd Puad menganggap ada pihak tertentu yang menjadi duri dalam daging dengan mendakwa adanya "tali barut Bersatu" yang menjaja naratif tertentu untuk memburukkan Umno, sekali gus menjejaskan sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan.

"Tetapi kerana Kemaman, terdapat tali barut Bersatu tuduh Umno jadi barua DAP.

"Umno tidak sertai pun gabungan PH (sebaliknya) menyertai kerajaan perpaduan atas dasar tanggungjawab. Apakah itu barua DAP?

"(Menjadi) Barua Bersatu lagi berat. Bunuh Umno," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS