JAS tahan operasi 3 premis terlibat kebakaran di Bukit Selambau
Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat penahanan operasi terhadap ketiga-tiga premis sebuah kilang di Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah yang terbabit dalam kebakaran pada Ahad lalu.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya turut menyita peralatan di dalam premis tersebut, yang didapati menjalankan aktiviti pengumpulan dan pemprosesan bahan buangan terjadual tanpa lesen daripada JAS.
“Setakat ini JAS Kedah telah membuat rakaman percakapan tuan tanah dan salah satu pemilik premis yang terlibat yang merupakan seorang warga Malaysia.
“Manakala dua lagi pemilik premis yang bukan warga tempatan masih dalam proses untuk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata kebakaran tersebut telah dipadam sepenuhnya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah membenarkan pegawai JAS memasuki semua kawasan terlibat bagi menjalankan siasatan pada tengah hari tadi.
Pada kejadian berlaku Ahad lepas, tiga premis yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau musnah dalam kebakaran.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan ‘bunga api’, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata berdasarkan rekod, pihaknya terdapat 24 Premis Yang Ditetapkan - Buangan Terjadual (PYDT-BT), yang dilesenkan di Kedah di mana sebanyak 71 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis-premis terbabit, pada tahun ini.
Dia berkata daripada jumlah itu, 58 pemeriksaan mendapati premis patuh kepada syarat lesen serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya, manakala 12 pemeriksaan mengesan berlakunya ketidakpatuhan.
Sharifah Zakiah berkata salah satu cabaran yang dihadapi JAS ialah kekangan kakitangan untuk memeriksa sejumlah besar industri dan pembangunan yang terdapat di seluruh negeri.
“Kegagalan pemaju untuk merujuk aktiviti mereka kepada JAS juga menjadi cabaran bagi JAS untuk mengesan dan mengambil tindakan. Bagaimanapun JAS akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ketidakpatuhan yang dikesan,” katanya.
-Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/efcfebf309b98f7dd1ccc9fa697b574d.jpg)
