Taqiuddin tawar diri jadi timbalan ketua Pemuda Amanah
Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Cheman, hari ini menawarkan diri untuk dipilih sebagai calon timbalan ketua Pemuda Amanah nasional.
Dalam kenyataan dibuatnya hari ini, Taqiuddin berkata dia membuat keputusan itu selepas mendapatkan pandangan rakan-rakannya di seluruh negara.
Katanya dia juga meneliti gagasan Arah Baru Pemuda yang dibawa salah satu calon ketua sayap Amanah ketika ini dan berpendapat wajar untuk menyertai gerakan tersebut.
"Setelah meneliti dengan cermat tujuh teras Arah Baru Pemuda, berbincang dan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan daripada seluruh negara, maka saya mengambil keputusan untuk bersama gerakan tersebut.
"Justeru hari ini saya menawarkan diri untuk dipilih sebagai timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional," katanya.
Amanah akan mengadakan kovensyen tahunannya di Klang, Selangor pada 23 dan 24 Dis ini. Sebelum itu Pemuda Amanah akan bersidang pada 16 Dis dan mengadakan pemilihan.
Pemilihan kali ini menarik perhatian apabila tiga nama sudah menawarkan diri untuk dipilih sebagai ketua iaitu penyandang yang juga anggota Dewan Negara, Hasbie Muda; Exco Pemuda Amanah Nasional merangkap Ketua Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman; dan Ketua Pemuda Amanah Selangor yang juga Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.
Gagasan Arah Baru Pemuda kini digerakkan Azhar.
Taqiuddin pernah berkhidmat sebagai Adun Pulai Sebatang dalam kawasan parlimen Pontian selama sepenggal, melalui PRU ke-14. Apabila PRU ke-15 dilangsungkan dia menjadi calon PH di kawasan Dewan Undangan Negeri Mahkota.
Taqiuddin, 35, bagaimanapun kalah kepada calon BN, Sharifah Azizah binti Syed Zain.
Kata Taqiuddin pemilihan Amanah kali ini harus menjadi platform untuk parti itu mengangkat pasukan anak muda yang lebih segar, berani serta progresif bagi memperkukuhkan kekuatan organisasi menghadapi PRU akan datang.
Pemuda Amanah, katanya, harus menampilkan barisan pemimpin yang kompeten dan lantang sebagai pemuka parti, selain menjadi tunjang utama perjuangan mereka.
"Untuk mencapai tujuan itu, bakat-bakat muda sama ada lama atau baru yang memiliki cita-cita serta kesedaran yang tinggi wajar diangkat untuk menggalas tanggungjawab bersama," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/478fce4819c6b5d614b7fbe9838dbb97.jpg)
