Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Rakyat India Malaysia bakal mohon sertai PN

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) hari ini mengumumkan mereka akan memohon untuk menjadi sebahagian daripada komponen PN selepas dipersetujui jawatankuasa pusat organisasi itu.

Presidennya, P Punithan berkata langkah itu selaras dengan mandat yang diberikan oleh para perwakilan dalam mesyuarat agung khas yang diadakan pada 26 Nov lalu.

Hari ini, katanya, usul tersebut diterima sebulat suara oleh Jawatankuasa Pusat MIPP.

"Saya memaklumkan bahawa MIPP akan membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN," katanya kepada media di Petaling Jaya hari ini.

Tambah Punithan, pada masa sama MIPP akan bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan dalam kepentingan masyarakat India.

Pihak itu, katanya, termasuk parti-parti politik dan pemimpin mewakili kaum India bagi memastikan kebajikan kaum India terbela.

MIPP ditubuhkan pada 2019 dan Punithan yang juga bekas ketua Pemuda MIC Selangor dilantik sebagai presiden yang baru dalam mesyuarat agung khas.

Untuk rekod, Punithan juga ialah timbalan ketua Jawatankuasa Masyarakat India PN yang diketuai oleh Hamzah Zainudin.

Katanya, jawatankuasa pusat parti itu akan berjumpa dengan pucuk pimpinan PN dalam masa terdekat untuk menyampaikan hasrat mereka.

“Kami ingin menyertai PN kerana melihat masih ada ruang dan peluang dalam gabungan itu untuk sebuah parti India menjadi komponen dan membawa agenda India kepada masyarakat India.

“Sasaran kami ialah membuka 160 bahagian seluruh negara.

“Kami percaya MIPP akan diterima oleh masyarakat India sebagai sebuah entiti politik nasional yang mewakili kaum India secara holistik.

“Kami akan merangka gerak kerja strategik serta agenda komprehensif baru untuk dijadikan asas bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat India,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS