Zunar disekat masuk Sarawak sebelum diberi pas 3 hari
Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ul Haque, lebih dikenali sebagai Zunar mendakwa disenaraihitamkan daripada memasuki Kuching, Sarawak - atas sebab yang tidak diketahui.
Bagaimanapun, dia diberikan pas tiga hari selepas berunding dengan pegawai imigresen.
Menerusi Facebook, Zunar mendakwa dia ditahan selama tiga jam di imigresen di Kuching semalam, 8 Dis.
“Setelah berjam-jam berunding, akhirnya saya dibenarkan masuk tetapi hanya tiga hari,” katanya.
Zunar terbang ke Kuching untuk menghadiri bengkel lukisan kartun di La Promenade Mall, yang diadakan hari ini dan esok.
Zunar ketika dihubungi berkata, tiada alasan diberikan atas senarai hitam ke atasnya.
“Saya tanya (pegawai imigresen) tetapi mereka kata mereka dapat arahan. Mereka tidak tahu apa sebabnya,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia menambah bahawa dia tidak mempunyai masalah memasuki Kuching semasa lawatan terakhirnya ke sana pada 2020.
Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan ini secara bebas.
Zunar dilarang ke luar Malaysia selama hampir dua tahun mulai Jun 2016 berikutan pameran kartunnya di Geneve, Switzerland. Dia didakwa mencemarkan imej negara dengan mengambil bahagian dalam pameran itu.
Dia telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen pada Mei 2018, berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.
Selain larangan perjalanan sebelum ini, pelbagai buku yang diterbitkan olehnya dirampas ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini, selain pameran tempatannya diganggu.
Dia juga telah dikenakan sembilan pertuduhan menghasut berhubung ciapan X (dahulunya Twitter) yang mengkritik badan kehakiman berhubung sabitan kesalahan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada Mac 2015.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/3761ab98514663fade3fc5ead7e3b407.jpg)
