Kantin kotor: Tindakan terhadap guru besar tidak adil, kata NUTP
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Wilayah Persekutuan (NUTPWP) menyifatkan tindakan Kementerian Pelajaran untuk memecat atau mengambil tindakan disiplin ke atas guru besar yang gagal memastikan kebersihan di kantin sekolah sebagai tidak adil.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Wilayah Persekutuan (NUTPWP) menyifatkan tindakan Kementerian Pelajaran untuk memecat atau mengambil tindakan disiplin ke atas guru besar yang gagal memastikan kebersihan di kantin sekolah sebagai tidak adil.
Sebaliknya, Setiausaha Agung NUTPWP, Lok Yim Phen berkata, kementerian harus melihat isu ini secara keseluruhan dan tidak hanya mempersalahkan guru besar sahaja.
"Pengusaha kantin harus dipertanggungjawabkan dalam menyediakan makanan yang bersih kepada pelajar," katanya ketika diminta mengulas tentang kes keracunan makanan di sekolah yang semakin meningkat.
Lok berkata, cara menyedia, mengurus dan menyimpan makanan yang tidak betul boleh menyebabkan keracunan makanan.
Bagaimanapun, beliau menyokong tindakan kementerian menamatkan perkhidmatan dan senaraihitamkan nama pengusaha kantin yang menjadi punca kepada kes keracunan ini.
Kepentingan pelajar
Kelmarin Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim mengumumkan kementerian akan mengambil tindakan disiplin atau memecat guru besar sekiranya gagal memastikan operasi di kantin sekolah.
Beliau berkata, tindakan ini diambil kerana tiada pilihan lain dan mengambilkira kepentingan pelajar.
Baru-baru ini, 57 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 di Kota Bharu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah selepas menikmati hidangan makan malam.
Manakala di SMK Ayer Hitam, Alor Setar pula seramai 144 pelajar mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada sambal sotong.
Dalam tempoh enam bulan ini, sebanyak 15 kes keracunan makanan telah dilaporkan dan empat daripadanya melibatkan susu kotak dari Program Susu Sekolah (PSS).

