PAS sindir saiz kabinet baru Anwar
PAS menyindir Anwar Ibrahim yang membesarkan kabinetnya daripada 28 kepada 31 orang.
“Waktu dia kecilkan kabinet: ini bukti kerajaan berjimat, kerajaan lepas hanya tahu membazir.
“Waktu dibesarkan kabinet: ini bukti kerajaan prihatin.
“Dia sentiasa betul,” sindir Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari.
Rombakan kabinet yang diumumkan Anwar Ibrahim pagi ini menyaksikan jumlah menteri meningkat daripada 28 ke 31 orang.
Lima menteri baru dilantik, iaitu Gobind Singh Deo (Digital), Dzulkefly Ahmad (kesihatan), Johari Ghani (perladangan dan komoditi), Steven Sim (sumber manusia) dan Amir Hamzah Azizan (kewangan II).
Hanya seorang menteri digugurkan ialah V Sivakumar (sumber manusia), yang terpalit kontroversi kes rasuah melibatkan kementeriannya,
Selain itu, jumlah timbalan menteri juga bertambah dari 27 kepada 29 orang.
Semasa pentadbiran PH kali pertama bawah pimpinan Mahathir Mohamad, seramai 28 menteri dilantik manakala timbalan pula seramai 27 orang.
Era Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, ketika PAS menjadi sebahagian dari kerajaan, bilangan menteri berjumlah 32 dengan 38 timbalan.
Barisan kabinet itu adalah yang teramai dalam sejarah negara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/a75c211b1ccec5ee4827a4b4f3982d0b.jpg)
