Walaupun V Sivakumar digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru dirombak namun dia tetap berikrar akan terus menyokong kerajaan.

“Saya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di parlimen Batu Gajah dan akan sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan Madani,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sivakumar juga memohon maaf kepada semua agensi dan pegawai serta pihak yang pernah berurusan dengannya sepanjang menerajui Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Semoga Kerajaan Madani dapat terus mengekalkan tadbir urus negara yang baik buat seluruh rakyat Malaysia.

"Permohonan maaf ke atas semua agensi, pegawai atau mana mana pihak yang pernah berurusan dengan saya di dalam KSM jika ada terdapat kesalahan dari pihak saya sepanjang menjadi menteri,” katanya pada satu kenyataan.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi-agensi di bawah KSM.

"Kerjasama antara kementerian dengan seluruh agensi telah berjaya memperoleh begitu banyak pencapaian dalam hanya tempoh setahun dibawah seliaan saya, dan sesungguhnya saya berasa amat bangga dengan anda semua.

"Tidak lupa juga atas semua sokongan dan kerjasama merentasi Kementerian-Kementerian lain yang telah menjayakannya,” katanya.

Dia berterima kasih kepada Anwar dalam kenyataannya kerana memberinya peluang untuk menerajui kementerian, dan mengucapkan tahniah kepada penggantinya Steven Sim.

"Selamat maju jaya diucapkan. Saya akan terus berkhidmat sebagai Wakil Rakyat di Parlimen Batu Gajah dan akan sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan Madani," katanya lagi.

Pada bulan Mei, Sivakumar, yang juga timbalan setiausaha agung DAP, mendapat perhatian SPRM berhubung siasatan yang melibatkan pengambilan pekerja asing. Selepas itu, lima pegawainya yang terlibat dalam skandal itu telah ditamatkan perkhidmatan.

Sivakumar sebelum ini dipetik media lain berkata dia menerima keputusan perdana menteri untuk menggugurkannya daripada barisan kabinet.