Peruntukan generasi penamat rokok (GEG) berkaitan rokok dan vape, yang digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, mungkin boleh  menjadi kenyataan semula susulan pelantikan menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly, yang mengambil alih tugas Zaliha Mustafa, sebelum ini pernah berikrar untuk mengembalikan pelaksanaan GEG pada masa yang lebih sesuai.

Berdasarkan hansard parlimen, Dzulkefly yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen  berkaitan kesihatan pada 29 November, menyatakan rasa sangat kecewa susulan pengguguran peruntukan GEG.

“...kita terpaksa menerima bahawa kita terpaksa menangguh keinginan kita untuk menjadi peneraju dunia dan global dari hal menentang Big Tobacco itu,” katanya.

Gambar hiasan

RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 November selepas proses mencabar sejak dicadangkan kali pertama pada 2022 oleh menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin.

Terdahulu Khairy mendakwa terdapat beberapa menteri menghalang undang-undang untuk mengharamkan golongan yang lahir selepas 2007 memberi produk berasaskan nikotin.

Katanya, cara kabinet menguruskan perkara itu “amat huru-hara”.

Selepas peruntukan GEG digugurkan, Khairu secara sinis mengucapkan tahniah kepada pemain besar industri vape dan tembakau kerana mereka “menang”.

Dzulkefly ketika menjadi menteri kesihatan dari 2018 ke 2020, mengharamkan rokok di bangunan parlimen. 

Dia juga memperluas larangan itu daripada restoran tertutup kepada premis terbuka.

Denda RM10,000 atau tiga tahun penjara akan dikenakan terhadap pelanggan dan pemilik premis yang tidak patuh.

[Baca berita asal]