Johari mahu kerap jumpa pemain industri komoditi, perladangan
Menteri Perladangan dan Komoditi yang baru dilantik, Johari Abdul Ghani berkata fokus utamanya sebaik saja dilantik mengetuai kementerian itu adalah terus mengukuhkan hubungan dengan pemain-pemain industri.
Bercakap kepada pemberita, Johari berkata dia mahu bertemu lebih kerap dengan mereka bagi memahami isu yang dihadapi dan lain-lain perkara berbangkit.
"Semua industri yang terbabit dalam kementerian ini saya nak cuba adakan lebih kerap pertemuan dengan mereka.
“Saya mahu faham isu mereka, faham bagaimana dasar yang boleh memberi perkembangan yang lebih cepat kepada mereka dan benda-benda yang kita rasa nak ‘engage’ dengan pemegang taruh kerana kita adalah pemudahcara kepada syarikat-syarikat yang besar, kecil dan sederhana untuk mereka menjalankan perniagaan mereka.
“Ini kerana apabila syarikat berjaya, kerajaan akan mendapat keuntungan dari segi tiga perkara iaitu cukai, penciptaan peluang pekerjaan dan ekonomi negara bertambah baik,” katanya.
Johari berkata demikian ketika ditemui media selepas memulakan hari pertama di Ibu Pejabat Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya bersama-sama timbalannya, Chan Foong Hin.
Johari yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan II dilantik ke jawatan itu bagi mengambil tempat Fadillah Yusof yang bertukar portfolio ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
Mengulas lanjut, Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa turut menyifatkan kementerian yang baru diterajuinya itu sudah melakukan tugas yang cukup baik.
Namun dia mengakui cabaran yang dihadapi terutamanya dalam mengurus lima komoditi utama ketika berdepan keadaan ekonomi sekarang.
“Komoditi adalah salah satu daripada sumber pendapatan kita dan ada lima komoditi yang kita urusan di sini iaitu sawit, getah, koko, lada dan kayu kayan.
“Kementerian ini lebih membabitkan pengusaha dan syarikat syarikat sama ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau syarikat besar. Estet-estet yang besar besar pun kita berinteraksi dengan mereka.
“Kita ini sebenarnya pemudah cara, bukan kementerian yang menjana keuntungan. Tetapi mereka yang terbabit secara langsung dalam industri ini apabila mereka untung, kerajaan akan dapat manfaat melalui cukai yang mereka bayar kepada kerajaan. Itu peranan kita,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/716f8e75caf7b3e01eaa2afb963ac835.jpg)
