Mangsa pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin kali terakhir dilihat ketika masih hidup di sekitar blok apartmennya di Damansara Damai, Petaling Jaya kira-kira 5 petang pada 5 Dis, kata polis.

Ini adalah kira-kira lima jam selepas dia dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, dua kanak-kanak memberitahu polis mereka melihat kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu berkeliaran seorang diri di koridor Aras 2 dan 3 Blok R.

“Semasa saringan besar-besaran polis, kami berjaya menemui dua saksi kanak-kanak yang melihat mangsa di Aras 2 dan Aras 3 Blok R antara jam 5 petang dan 5.30 petang pada 5 Dis.

“Mangsa dilihat seorang diri di koridor,” katanya.

Hussein berkata polis telah merekodkan keterangan daripada 86 individu bagi membantu siasatan setakat ini, manakala bilangan sampel DNA yang diambil semasa saringan DNA beramai-ramai di kompleks pangsapuri itu meningkat kepada 238.

Setakat ini, menurutnya, pakar forensik masih berusaha untuk membandingkan semua sampel dan profil DNA dalam bank data polis dengan bukti yang dikumpulkan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada petang 5 Dis. Menurut laporan berita, budak lelaki itu dan ibunya sedang menaiki tangga ke unit pangsapuri mereka di tingkat 3 apabila dia menyedari bahawa anaknya tidak lagi kelihatan.

Ibu itu kemudian mencari Zayn Rayyan, sebelum membuat hantaran di Facebook memohon bantuan daripada sesiapa di sekitar kawasan berkenaan untuk mengesan anaknya.

Pasukan mencari kemudiannya ditubuhkan oleh pihak berkuasa dan dibantu oleh penduduk setempat untuk mencari kanak-kanak itu.

Selepas usaha mengesan mangsa tidak berjaya, polis melancarkan operasi mencari dari rumah ke rumah pada petang 6 Dis, sebelum mayat Zayn Rayyan akhirnya ditemui di tepi sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya pada kira-kira jam 10 malam.

Dia pada mulanya dipercayai lemas, tetapi polis kemudian mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan susulan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik mendapati mangsa telah dicekik.

Terdapat juga luka mempertahanan diri ditemui pada badannya, menurut polis.