Tak ada tempat untuk media promosi keganasan di Malaysia - Teo
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mendakwa sesetengah media atau perantara komunikasi sedia ada hari ini ditubuhkan hanya untuk mempromosikan keganasan.
Bagaimanapun Teo berkata media sebegitu tidak akan mendapat tempat di negara ini.
“Sesetengah media ditubuhkan untuk mempromosikan keganasan dalam masyarakat serta ucapan berbaur kebencian.
“Namun, media ini tiada tempat di Malaysia mahupun dalam mana-mana masyarakat bertamadun,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan pelancaran Siri Pembangunan Profesional National Press Club (NPC) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden NPC Ahirudin Attan atau Rocky Bru.
Tanpa menamakan media terbabit, Teo berkata kerajaan sentiasa membuat pemantauan namun terpulang kepada masyarakat untuk membuat pilihan.
“Kerajaan boleh mengawal selia, melaksanakan kempen penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada dan mendidik generasi muda dan warga emas agar tidak menggunakan media-media berkenan.
“Namun pada akhirnya, ia bergantung kepada individu itu sendiri agar tidak melawat laman-laman web sedemikian.
“Kita perlu sedar bahawa algoritma laman web ini akan melakukan kerja-kerja buruknya cukup dengan kita sekadar melawat laman-laman tersebut. Penolakan kandungan yang merbahaya dan berniat jahat bukan sahaja baik untuk individu tetapi juga negara,” katanya.
Dalam pada itu, Teo berkata media di seluruh dunia juga menjadi sasaran kempen manipulasi berniat jahat.
“Ia bukan sekadar penggunaan laskar siber, pahlawan papan kekunci, organisasi jenayah, atau pembuli media dan maklumat upahan.
“Negara di seluruh dunia perlu memberikan perhatian kepada lingkungan ruangan maklumat kerana media sering menjadi sasaran untuk menyampaikan mesej yang tidak mewakili kepentingan sesebuah negara atau rakyatnya,”katanya.
Tambah Teo, pemerkasaan wartawan dengan teknologi untuk membezakan antara fakta dan pemesongan maklumat pada luarannya kelihatan mudah.
“Namun, kerumitan teknologi dan motivasi penyangak maklumat juga semakin lama semakin canggih,” ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/a5b1898ae5242c491b0c339a3aeb74c7.jpg)
