Kit Siang cabar PAS, Bersatu nyatakan sikap pada usul Wan Fayhsal
Lim Kit Siang hari ini mencabar PN untuk menyatakan pendirian mereka terhadap saranan dibuat salah seorang pemimpin kanan parti itu mengenai kriteria calon perdana menteri.
Ahli politik veteran itu membuat kenyataan ekoran cadangan dilontarkan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam.
PAS dan Bersatu perlu menyatakan sama ada cadangan Wan Ahmad Fayhsal untuk meminda Perlembagaan Malaysia bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada orang Melayu Islam sahaja ini adalah pendirian rasmi mereka," katanya.
Semalam Wan Ahmad Fayhsal menghangatkan lagi polemik kriteria calon perdana menteri di negara ini dengan mencadangkan agar kerajaan meminda perlembagaan.
Kata ahli parlimen Machang itu, langkah tersebut dapat memastikan hanya calon Melayu Islam boleh diangkat sebagai perdana menteri.
Semalam juga Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian, yakin tiada ahli parlimen dari Sabah atau Sarawak akan menyokong langkah mengehadkan jawatan perdana menteri kepada hanya orang Melayu-Islam.
Adun Ba’Kelalan itu turut yakin kenyataan dibuat Wan Ahmad Fayhsal itu sekadar mahu mempolitikkan isu kaum atau agama untuk agenda PN.
"Malangnya, ramai yang terjerumus ke dalam falasi ini,” kata Baru.
Menurut perlembagaan, satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi perdana menteri - seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) - ialah individu terbabit mestilah ahli parlimen yang - dalam pertimbangan Yang di-Pertuan Agong - mempunyai sokongan majoriti di parlimen.
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan pula mentakrifkan Melayu sebagai seorang individu yang menganut agama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu, dan mematuhi adat resam Melayu.
Keadaan politik semasa juga meletakkan setiap parti politik utama memerlukan sokongan daripada parti di Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/7fa6fbefd4ac26e8afe22aed711d5738.jpg)
