Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsuddin mempersoalkan apakah syarat-syarat baru di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah diputuskan dan mendapat persetujuan kabinet sebelum ia diumumkan.

Menjawab Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing, Mas Ermieyati berkata proses permohonan dan kelulusan yang terlalu longgar bagi program berkenaan boleh membuka ruang kepada lambakan kemasukan warga asing.

"Sebagai sebuah negara yang berdaulat, adalah tanggungjawab kita untuk memastikan setiap pemberian taraf Penduduk Tetap (PR) di negara ini ditapis dengan teliti, dan bukan hanya bergantung kepada kemampuan meletakkan deposit simpanan tetap.

"Sedangkan, proses umum untuk permohonan Penduduk Tetap adalah lebih komprehensif - termasuk penilaian kemampuan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, kelayakan akademik, nilai pelaburan yang dibawa masuk dan pengalaman berkerja di Malaysia," katanya.

Semalam, Tiong menggesa siasatan dibuat ke atas Mas Ermieyati kerana menghasut selepas dia mendakwa warga China yang menyertai MM2H akan serta-merta layak menjadi penduduk tetap (PR).

Dakwaan ahli parlimen PN itu berdasarkan pengumuman Tiong pada Jumaat lalu bahawa kerajaan memperkenalkan "edisi khas" MM2H.

Edisi khas itu memperkenalkan syarat baru untuk aplikasi MM2H, yang kini dibahagikan kepada tiga peringkat - perak, emas dan platinum.

Peringkat platinum, memerlukan pemohon memasukkan RM5 juta ke dalam simpanan tetap, yang mana mereka boleh mengeluarkan 50 peratus selepas setahun untuk membeli hartanah (bernilai RM1.5 juta ke atas) atau untuk tujuan pelancongan dan perubatan.

Mereka yang layak untuk peringkat platinum, juga layak untuk status PR selepas mereka mendapat pas MM2H.

Manfaat PR tidak ditawarkan kepada peserta peringkat emas dan perak.

Tiong berkata edisi khas MM2H itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dengan China.

Bagaimanapun, katanya permohonan untuk program itu terbuka kepada rakyat semua negara.

Tiong menegaskan bahawa pemohon MM2H perlu memenuhi syarat ketat, dan kategori baru serta faedah yang diumumkan bertujuan untuk menarik lebih ramai pemohon.

Mas Ermieyati dalam pada itu membangkitkan isu keselamatan negara dengan mendakwa perisik Korea Utara pernah memasuki negara ini melalui program MM2H sebelum 2020.

"Kita pernah dikejutkan dengan berita perisik Korea Utara yang berjaya memasuki negara kita melalui program MM2H sewaktu di bawah MOTAC sebelum tahun 2020.

"Apakah yang dimaksudkan oleh YB dengan tapisan yang lebih ketat? Apakah tambah baik ciri keselamatan yang telah YB Menteri Pelancongan usahakan?" soalnya.

Tambahnya, visi asal pelaksanaan MM2H adalah untuk memberi galakan kepada pesara warga asing untuk memilih Malaysia sebagai tempat persaraan.

Bagaimanapun katanya, syarat baharu termasuk menurunkan usia pemohon kepada 30 tahun dengan tempoh keberadaan yang lebih singkat boleh menyebabkan persaingan pekerjaan dalam kalangan belia di Malaysia.