Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa pemimpin PAS Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen kerana menyifatkan kenyataan berhubung perdana menteri bukan Melayu sebagai "naratif beracun."

Lim juga menggesa setiausaha agung PAS itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

“Takiyuddin harus dirujuk kepada jawatankuasa keistimewaan (untuk melihat) sama ada dia telah melanggar sumpahnya sebagai ahli parlimen untuk ‘memelihara, melindungi, dan mempertahankan’ perlembagaan.

"Dengan menyifatkan bahawa kenyataan PM bukan Melayu adalah 'naratif beracun', yang berisiko menimbulkan ketidakharmonian, adakah Takiyuddin mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah dokumen yang memecahbelahkan dan menghasut?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin sebelum ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menghentikan "naratif beracun" DAP.

Ini selepas Lim membangkitkan kemungkinan seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri, dan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan untuk mengembalikan semula pilihan raya majlis tempatan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Lim bertanya sama ada Takiyuddin akan bercadang untuk menjadikan PAS sebuah parti yang lebih sederhana.

"Adakah PAS akan mengikis ekstremismenya dan menjadi parti Islam yang sederhana selaras dengan Perlembagaan Malaysia dan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama, budaya, dan peradaban?" katanya.

Polis telah menyoal Lim selepas membangkitkan kemungkinan seorang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.

Mengenai cadangan pilihan raya tempatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata terdapat lebih banyak perkara asas yang perlu diutamakan terlebih dahulu.