Walau rumah dah tinggi, penduduk Kg Tersang tetap kena pindah ke PPS
Walaupun sudah berusaha mengubahsuai rumah menjadi lebih tinggi dan berhabis puluhan ribu ringgit untuk mengelak banjir, nasib tetap tidak menyebelahi sebuah keluarga di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan.
Ini kerana rumah yang diubahsuai dengan kos sekitar RM80,000 itu masih lagi ditenggelami air sekiranya banjir besar melanda kawasan itu.
Ismail Salleh, 76, berkata selain itu demi menyelamatkan barang-barang berharga dia juga terpaksa membuat para daripada aram (staging) di tingkat atas rumahnya.
Menurutnya rumah itu diubahsuai selepas kejadian banjir besar pada tahun 2014, namun pada Februari lalu tingkat atas rumahnya tetap dinaiki air akibat banjir.

“Jadi saya terpaksa buat lagi para menggunakan staging untuk letak barang-barang penting sementara meninggalkan rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PSS).
“Sebelum ini tingkat bawah memang banyak kali tenggelam, paling teruk pada 2014. Kemudian saya tambah tingkat atas supaya lebih tinggi, tapi tak cukup lagi. Terpaksa buat para dan berpindah ke PPS,” katanya ditemui ketika tinjauan Malaysiakini, semalam.
Untuk rekod Kampung Tersang antara kawasan paling terjejas setiap kali banjir melanda di sekitar Rantau Panjang.

Lebih teruk apabila sebahagian besar kampung tersebut mengalami banjir ‘termenung’ iaitu keadaan air yang mengambil masa lama untuk surut sepenuhnya.
Penduduk Kampung Tersang dan sekitarnya percaya keadaan itu berlaku susulan kesan daripada projek tebatan banjir, iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Terdahulu media melaporkan penduduk Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To'Deh menggesa kerajaan membina terowong pada benteng projek berkenaan bagi mengatasi masalah air tersekat.

Mereka mendakwa, ratusan rumah terjejas kerana berdepan masalah banjir termenung kerana air tidak dapat mengalir ke sungai.
Sementara itu Mohd Nordin Yusof, 52, yang juga menantu kepada Salleh berkata dia sekeluarga mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila barangan elektrik dan perabot musnah ditenggelami banjir.

Walaupun rumah sudah dibina dengan lebih tinggi katanya, mereka tetap bimbang keselamatan harta benda.
“Saya ambil langkah tak beli dahulu perabot buat masa sekarang dan hanya mendapatkan barangan yang penting saja untuk mudahkan kami simpan sepanjang musim banjir.
"Macam situasi sekarang, walaupun saya sekeluarga kena pindah ke PPS, tapi tetap risau fikirkan harta benda di rumah,” ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/bc76f91d8b83c8d7b234c706b50b8a84.jpg)
